Tokan dadah ditahan di Felda Palong 4

Dadah yang dirampas.
Dadah yang dirampas.
A
A
A

JEMPOL- Seorang tokan dadah ditahan polis sebaik tiba di sebuah rumah yang dijadikan sebagai tempat pengedaran dadah di Felda Palong 4 di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol lebih kurang jam 12 tengah malam menerusi Op Tapis yang diketuai oleh Pegawai Risikan dan Operasi, Inspektor Mohd Rizwadie Bukhari.

"Ketika ditahan suspek berada di atas motosikal cuba melarikan diri. Suspek cuba melarikan diri ketika ditahan menyebabkan berlakunya pergelutan antaranya dengan anggota polis.

"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairiel
Mohd Khairiel

Beliau berkata, dalam operasi itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 40.30 gram bernilai RM2,015 dan 7.20 gram dadah bernilai RM720 dimiliki suspek.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana urin positif dadah, manakala sebuah motosikal jenis Honda Dash turut disita berikutan dipercayai digunakan untuk mengedar dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menjadikan rumah tersebut sebagai lokasi pengedaran dadah di kawasan Felda berkenaan.

"Suspek yang juga seorang peniaga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.