SKMM semak semula fungsi 1,100 pusat internet

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyemak semula kedudukan 1,100 pusat internet di negara ini untuk melihat fungsi dan manfaatnya kepada kementerian lain.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini termasuklah menilai semula sejauh mana aset sedia ada masih boleh digunakan, perlu ditukar atau diperbaharui.

"Kita telah mengarahkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menyemak kandungan program-program yang dianjurkan atau dilaksanakan di pusat-pusat internet untuk mengetahui bagaimana aktiviti itu boleh ditingkatkan dan boleh diguna pakai di semua agensi dan kementerian.

"Contohnya kalau pusat internet itu berada di lokasi atau kawasan yang ada ramai petani dan nelayan walaupun ia dijaga oleh Kementerian Multimedia, tetapi ia boleh digunakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi tujuan pusat latihan untuk golongan petani dan nelayan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Saifuddin berkata, pihaknya tidak berhasrat membina pusat internet yang baharu, sebaliknya akan memastikan 1,100 pusat yang ada digunakan secara maksimum dan dapat dimanfaatkan oleh semua golongan.

"Selepas negara dilanda pandemik Covid-19, kerjasama antara agensi dan kementerian dalam memaksimumkan penggunaan pusat internet ini harus ditingkatkan. Program Digital Ekonomi yang dibangunkan kerajaan Persekutuan juga harus diterjemah di peringkat tempatan.

"Selain itu, agensi dan kementerian juga perlu memainkan peranan membantu penduduk tempatan khususnya penduduk luar bandar untuk pembangunan e-dagang menerusi pusat internet ini.

"Hal ini bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tidak kira latar belakang termasuklah kalangan pelajar sekolah kerana Covid-19 meninggalkan kesan besar terutama kepada golongan B40. Bantuan sedemikian sangat mustahak," katanya.

Artikel Berkaitan: