Ingati tragedi PPH di Kroh

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

DALAM sejarah kepolisan negara, tarikh 17 Jun 1968 mencatat kisah duka iaitu serang hendap pengganas komunis ke atas konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) yang menyaksikan seramai 16 anggota terkorban, manakala 17 yang lain cedera parah.

PPH atau kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA) diasaskan daripada pasukan Jungle Company semasa era darurat sebagai unit infantri pasukan polis dengan organisasi dan persenjataan sama seperti tentera.

Peristiwa serang hendap Kroh amat penting dalam mengenang kekejaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) kerana ia satu-satunya kejayaan besar mereka mendapat jumlah korban pasukan keselamatan yang tinggi.

Kroh atau kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu ialah sebuah pekan kecil di Hulu Perak. Berkeluasan kira-kira 873.70 kilometer persegi, ia bersempadan dengan daerah Gerik, Baling di Kedah dan Betong (Thailand).

Kedudukan tersebut menjadikan pekan kecil itu cukup strategik sebagai kawasan operasi tentera dan PPH semasa memerangi pengganas komunis sekitar tahun 1960-an hingga 1980-an.

Melalui Kroh, PPH akan masuk ke sempadan Thailand di Betong untuk menjalankan operasi sehingga ke Kelantan. Sebelum Jun 1976, hanya PPH yang boleh beroperasi dalam sempadan Thailand untuk memburu komunis.

Ia sebab gerakan bersenjata PKM disusun semula pada tahun 1958 dengan anggaran saki-baki kira-kira 600 gerila yang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand.

Peristiwa serang hendap itu berlaku jam 5.30 petang melibatkan konvoi kenderaan yang membawa seramai 35 anggota Platun 11, Kompeni C, Batalion 1 PPH yang berpengkalan di Ulu Kinta, Perak.

Artikel Berkaitan:

Semasa kejadian, platun tersebut bertugas sebagai kumpulan pengiring atau strike force bagi memberi kawalan kepada konvoi PPH yang melalui jalan tersebut iaitu dari pangkalan PPH di pekan Kroh ke Betong untuk menjalankan tugas Op Sawadee Salam.

Konvoi berkenaan diserang hendap semasa melalui satu selekoh tajam oleh pengganas komunis yang berlindung di tiga buah bukit di kiri kanan jalan.

Serangan hebat pengganas komunis itu juga menyebabkan anggota PPH yang berlindung di bawah kenderaan tidak dapat melancarkan serangan balas akibat dihujani peluru.

Serang hendap itu telah dirancang dengan begitu rapi oleh pengganas komunis hinggakan satu pasukan lain yang dihantar bagi memberi bantuan tidak berjaya kerana turut diasak dengan tembakan musuh yang bertubi-tubi.

Pertempuran yang berlaku dalam tempoh 20 minit itu menyaksikan pengganas komunis telah menggeledah kawasan serang hendap untuk merampas senjata sebelum melarikan diri, antaranya dua laras Brengun, raifal SLR (19 laras), dua pucuk Revolver, sepucuk pistol suar, empat butir bom tangan dan tiga laras submesingan Sterling.

Suasana pilu dan duka menyelubungi kem PPH Ulu Kinta semasa jenazah anggota-anggota yang terkorban tiba dari lokasi pertempuran.

Peristiwa itu juga mendapat liputan akhbar-akhbar tempatan pada masa itu. Malah, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman telah menziarahi keluarga mangsa dan anggota-anggota PPH yang cedera.

Secara taktikalnya, serang hendap kenderaan merupakan serangan yang memberi kelebihan kepada pasukan penyerang kerana mereka berada pada keadaan amat bersedia termasuk membuat perkiraan titik lemah pihak lawan.

Berdasarkan operasi susulan yang dilakukan kemudian mendapati pengganas komunis telah melancarkan serang hendap daripada tujuh kedudukan di kiri dan kanan bukit.

Kejayaan serang hendap itu telah memberi suntikan moral kepada pengganas komunis yang kemudian menjadi titik penting dalam kebangkitan PKM pada tahun 1969.

Serangan itu bagaimanapun turut menyemarakkan lagi semangat dan iltizam Ketua Polis Negara ketika itu, Tun Mohamed Salleh Ismael untuk menghadapi tentangan pengganas komunis apabila menambah bilangan batalion PPH.

Walaupun beberapa lagi peristiwa serang hendap pengganas komunis yang berlaku kemudian ada mengorbankan anggota pasukan keselamatan tetapi jumlahnya tidak seramai insiden melibatkan PPH di Kroh.

Justeru, peristiwa serang hendap 17 Jun 1968 ini wajar diingati oleh warga Sang Saka Biru, lebih-lebih lagi PGA sebagai peniup semangat api perjuangan.