Berdiri bersama Jalil Rasheed

No Image Caption
A
A
A

SEKITAR tahun 2018-2019, kerajaan giat melakukan reformasi institusi dalam pentadbiran negara. Kita harus ingat ‘pentadbiran’ ini bukan sahaja melibatkan Dewan Rakyat dan kementerian (banyak juga reformasi telah dilaksanakan di sini) tetapi ia juga melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pertama, ruang mentadbir GLC dibuka kepada mereka yang benar-benar pakar dalam pelbagai bidang.

Kedua, kita undang dan angkat orang-orang muda Malaysia untuk berkhidmat dan mentadbir GLC. Apa yang kerajaan sedar waktu itu adalah sebenarnya ramai anak muda Malaysia yang berkelayakan, berpengalaman luas dan syarikat multinasional di luar negara memang gemar mengambil anak Malaysia bekerja.

Waktu itu jugalah nama Jalil Rasheed ditinjau oleh kerajaan. Berusia 38 tahun, Jalil berpengalaman dalam mengurus dan melaburkan aset di Asia Selatan berjumlah lebih 1.2 trilion dolar di lebih 25 buah negara!

Pengalaman

Ia peluang emas kerajaan untuk meraih pengalaman anak muda ini berkhidmat dalam GLC negara. Pucuk dicita, ulam mendatang. Jalil bersetuju untuk pulang berkhidmat walaupun akan menanggung 90 peratus potongan pendapatan jika berkhidmat di Malaysia.

Akhirnya, Jalil dilantik menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB. Ia benar-benar perubahan positif kepada sejarah pengurusan aset negara.

Kita perlukan orang yang berpengalaman luas, mempunyai perspektif kontemporari dalam ekonomi global dan paling penting, nilai patriotik sehingga sanggup pulang berbakti kepada negara.

Itu cerita pelantikan Jalil pada pertengahan tahun lalu. Hari ini khabar menyedihkan apabila Jalil diberhentikan perkhidmatan di PNB.

Artikel Berkaitan:

Strategi dan cara pandang kerajaan hari ini dilihat lebih mengutamakan ahli politik menerajui GLC berbanding anak muda yang benar-benar layak menjaga aset negara.

Mungkin pandangan kerajaan adalah Jalil masih muda atau Jalil tidak ada pandangan politik yang serupa.

Apa-apa pun apabila saya dengar cerita pemberhentian itu, saya fikir yang menanggung rugi dan sakit akibat langkah tersebut bukannya Jalil tetapi PNB dan strategi menguruskan aset negara yang tergadai.

Jalil masih Jalil. Beliau sudah jauh berkhidmat di luar negara dan khidmatnya ditagih banyak syarikat. Saya percaya ini semua bukan masalah bagi beliau tetapi PNB dan masa hadapan banyak GLC negara makin kelam.

Mungkin politik mengatasi bakat dan merit dalam mentadbir aset negara. Saya doakan yang terbaik untuk negara. #StandWithJalil

* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada Bersatu