PKPP stabilkan emosi rakyat

Sebahagian rakyat Malaysia kini bimbang dalam melalui normal baharu bagi menyekat penularan Covid-19. Gambar kecil: Dr Abd Halim Mohd Hussin
Sebahagian rakyat Malaysia kini bimbang dalam melalui normal baharu bagi menyekat penularan Covid-19. Gambar kecil: Dr Abd Halim Mohd Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - Kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) merupakan satu langkah positif untuk menguruskan kestabilan emosi dan pemikiran rakyat Malaysia dalam mendepani masalah koronavirus (Covid-19).

Pakar kaunseling, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, sebahagian rakyat Malaysia kini bimbang dalam melalui normal baharu bagi menyekat penularan Covid-19.

Menurutnya, dalam konteks pandemik Covid-19, memang terdapat unsur episod traumatik, bagaimanapun ia bukan dikategorikan sebagai trauma ekstrem.

Sebaliknya, katanya, ia lebih kepada penghasilan kebimbangan akibat daripada kaedah pengawalan yang sememangnya boleh menggugat kesejahteraan mental masyarakat.

“Kalau kita kata rakyat Malaysia masih trauma, saya kurang bersetuju mengatakan trauma yang ekstrem, tapi lebih kepada kebimbangan dan kerisauan terhadap keupayaan daya tindak dan ketidaktentuan yang juga menjejaskan aktiviti mencari rezeki.

“Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga beberapa kenyataan yang sahih daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa usaha untuk mengatasi Covid-19 mengambil masa yang panjang.

“Walaupun kita sekarang berada dalam tempoh pemulihan tetapi dalam masa yang sama apa yang boleh membaiki keadaan adalah dengan kelonggaran PKP kepada pemulihan. Oleh itu, peniaga juga perlu bersungguh-sungguh melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Abd Halim yang juga Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia berkata, kesan daripada normal baharu mengambil masa kerana rakyat perlu biasakan diri melakukan perkara baharu seperti memakai pelitup muka.

Artikel Berkaitan: