Berita baik sukan negara

Reezal Merican (kanan) dan Wan Ahmad Fayhsal menujukkan modul prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Sektor Sukan dan Rekreasi Fasa 2 baru-baru ini.
Reezal Merican (kanan) dan Wan Ahmad Fayhsal menujukkan modul prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Sektor Sukan dan Rekreasi Fasa 2 baru-baru ini.
A
A
A

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam fasa terakhir menentukan geran khas kepada sektor sukan yang berdepan detik sukar ketika mengharungi Covid-19.

Menurutnya, KBS kini sedang meneliti beberapa lagi maklumat akhir dan mengutip setiap data yang diperlukan sebelum pemberian geran tersebut diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Ya, KBS bersama-sama Kementerian Kewangan sedang merancang dan kini dalam peringkat terakhir untuk geran khas buat persatuan sukan. KBS memahami sepenuhnya kesukaran yang dialami oleh semua pihak ekoran pandemik Covid-19.

“Sebagaimana beberapa kementerian telah mengumumkan insentif atau geran khas kepada industri respektif mereka, KBS juga akan melakukan perkara sama untuk sukan negara,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, New Zealand telah mengumumkan bajet sebanyak NZ$265 juta (RM703 juta) untuk sektor sukan yang sedang bergelut dengan masalah kewangan ekoran krisis pandemik Covid-19.

Britain turut mengikuti jejak langkah New Zealand apabila mengumumkan bantuan sektor sukan di negara mereka sebanyak 198 juta pound (RM1.044 bilion).

Sektor sukan negara menerima tempias disebabkan Covid-19 selepas mencatatkan kerugian besar selain ada yang terpaksa menutup operasi selain gagal menjana pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.
Saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan sejak Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Namun, Wan Ahmad Fayhsal mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ ketika ditanya mengenai jumlah sebenar geran khas tersebut, sebaliknya beliau hanya memaklumkan, pengumuman itu akan dibuat oleh KBS dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, KBS bersedia untuk membantu membangunkan kembali sektor sukan tempatan selepas ekonomi industri itu tidak berada dalam keadaan stabil gara-gara pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, kesemua sukan termasuk bola sepak menjadi keutamaan buat KBS dalam usaha memastikan industri sukan tempatan kembali normal jika pelaksanaan geran khas boleh dilakukan.

“Untuk bola sepak sebagai sukan No. 1 negara, KBS sudah pasti mahu membantu dan KBS juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

“Ini kerana kita semua sama-sama mahu melihat industri sukan kembali stabil dan budaya sukan kembali harmoni di Malaysia,” jelasnya.