'Permulaan baik, walaupun kurang pengunjung'

 Pergerakan pengunjung dikawal rapi dengan hanya menggunakan satu laluan keluar dan masuk.
Pergerakan pengunjung dikawal rapi dengan hanya menggunakan satu laluan keluar dan masuk.
A
A
A

IPOH - Peniaga pasar malam di sini tetap positif meneruskan perniagaan mereka walaupun masih kekurangan pengunjung pada hari pertama kebenaran operasi di seluruh Perak hari ini.

Ketika ditemui Sinar Harian, mereka mengakui permulaan berniaga tidak ramai yang datang mendapatkan barangan keperluan.

Peniaga, Syed Redzwan Syed Abdul Rais, 55, antara peniaga pasar malam berkata, kekurangan pengunjung memang sudah dijangka tetapi mereka menganggap itu antara permulaan rezeki untuk berniaga semula.

Syed Redzwan yang sudah enam tahun berniaga taufufa di pasar malam mengakui hilang punca pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Menurutnya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat tetapi itu antara yang terbaik bagi mengupayakan semula peniaga sepertinya.

"Alhamdulillah, ini dah cukup baik daripada langsung tiada peluang berniaga. Garis panduan diberikan ini untuk keselamatan kita.

Pendaftaran dan pemeriksaan suhu yang diwajibkan ke atas setiap pengunjung pasar malam. (Chalida Bunga Din, Syed Redzwan Syed Abdul Rais)
Pendaftaran dan pemeriksaan suhu yang diwajibkan ke atas setiap pengunjung pasar malam. (Chalida Bunga Din, Syed Redzwan Syed Abdul Rais)

"Pelanggan memang tidak ramai seperti dulu tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung belanja harian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Chalida Bunga Din, 42, berkata, dia mengambil langkah mengurangkan kuantiti jualan lauk-pauk supaya tidak rugi.

Katanya, pada kebiasaan operasi pasar malam, nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak dan laksam di gerainya mampu meraih jualan sehingga RM500.

"Pada mulanya saya risau juga tiada pelanggan tetapi elok juga berniaga semula supaya dapat menarik lagi ramai pengunjung datang jika banyak gerai dibuka," katanya.

Tinjauan di Pasar Malam Taman Tasek Damai di sini mendapati, terdapat sekitar 30 peniaga membuka perniagaan dengan mengekalkan penjarakkan sosial dan pematuhan penggunaan topeng muka serta apron.

Selain mewajibkan pendaftaran dan pemeriksaan suhu ke atas pengunjung, pergerakan juga dikawal rapi dengan hanya menggunakan satu laluan keluar dan masuk.

Pengunjung pasar malam, Mohammad Azmizan Amin, 39, berkata, SOP yang ditetapkan dalam norma baharu ini memberi lebih keselesaan kepada pembeli dalam aspek keselamatan dan kebersihan makanan.

"Bagi saya peraturan sekarang jauh lebih baik, elok dikekalkan. Kita pun rasa selamat dan tidak perlu bersesak seperti selalu," katanya.

Mohammad Azmizan turut menyarankan lebih banyak gerai pasar malam dibuka bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung.

Pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP dilakukan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Pasar Malam Taman Tasek Damai, hari ini. (Atas: Jaafar Uthman, Bawah: Mohammad Azmizan Amin)
Pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP dilakukan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Pasar Malam Taman Tasek Damai, hari ini. (Atas: Jaafar Uthman, Bawah: Mohammad Azmizan Amin)

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, kebenaran pasar malam beroperasi membolehkan hampir 150 peniaga di bawah seliaan persatuan itu 'bernafas' semula.

Katanya, selain Taman Tasek Damai, lima lagi kawasan pasar malam yang akan beroperasi iaitu Taman Perpaduan, Taman Jati, Taman Arena Perpaduan, Bercham Raya dan Taman Tasek Indra.

"Pada minggu pertama ini, 30 peniaga bersetuju berniaga namun kita jangkakan akan ada lagi pertambahan menjelang akhir bulan nanti," katanya.

Beliau berkata, perubahan waktu operasi dari jam 4 petang hingga 7 malam berbanding 6 petang hingga 10 malam antara faktor kehadiran pengunjung ke pasar malam berkurang.

"Mungkin kerajaan boleh memberi kelonggaran waktu operasi supaya orang ramai khususnya yang pulang dari bekerja ada kesempatan datang membeli di pasar malam," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Perak membenarkan pembukaan pasar terbuka seperti pasar malam, pasar pagi, pasar tani dan bazar ria di semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) secara berperingkat, bermula hari ini.

Artikel berkaitan: PKPP: Pasar malam tutup jika gagal patuhi SOP