Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila para pelabur kembali mencari mata wang selamat berikutan minat risiko yang menurun.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.2730/2780 berbanding 4.2650/2700 pada paras penutup Jumaat minggu lepas.

Menurut laporan, sentimen positif terhadap dolar AS muncul selepas para pelabur menilai semula unjuran ekonomi yang negatif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada mesyuaratnya minggu lepas, di samping kebimbangan akan gelombang kedua pandemik Covid-19.

Ketua Pakar Strategi Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, harga minyak yang lemah juga menjejaskan prestasi ringgit.

Penanda aras minyak mentah Brent bagi kontrak Ogos turun 0.72 peratus untuk diniagakan pada AS$38.45 setong.

"Selain itu, saya fikir pelabur sedang menilai semula data Covid-19 dan berusaha merangka pelan baharu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0620/0662 daripada paras penutup 3.0706/0753 pada Jumaat, tetapi meningkat kepada 5.3571/3655 daripada 5.3944/3024 berbanding pound Britain.

Artikel Berkaitan:

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.9816/9870 daripada 3.9663/9717, tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.8067/8128 daripada 4.8280/8353. - Bernama