Kabin bergerak mudahkan urus jenazah

Mohd Zulhairi bergambar bersama kabin pengurusan jenazah bergerak yang dihasilkan bagi membantu golongan memerlukan.
Mohd Zulhairi bergambar bersama kabin pengurusan jenazah bergerak yang dihasilkan bagi membantu golongan memerlukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah ke atas setiap umat Islam dan kebiasaannya ia dilakukan di hospital atau kediaman waris masing-masing.

Namun begitu, cetusan idea kreatif anak muda berusia 36 tahun yang berasal dari Bangi, Selangor ini berjaya menghasilkan sebuah kabin pengurusan jenazah bergerak yang dilihat dapat memudahkan proses berkenaan untuk dilakukan di mana-mana sahaja.

Menurut Pengasas Amal Valley Organization, Mohd Zulhairi Zainol berkata, pihaknya baharu sahaja memulakan operasi kabin jenazah bergerak berkenaan sejak seminggu lalu dan sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Beberapa kemudahan pengurusan jenazah disediakan di dalam kabin terbabit.
Beberapa kemudahan pengurusan jenazah disediakan di dalam kabin terbabit.

"Sejak seminggu lalu, boleh dikatakan hampir setiap hari kami mendapat panggilan untuk menguruskan jenazah.

"Jenazah yang kami uruskan ini kebiasaannya terdiri daripada mereka kurang berkemampuan dan memerlukan. Kami juga tidak kenakan sebarang caj bayaran.

"Tapi jika ada pihak yang ingin membayar, kami akan gunakan untuk pengurusan jenazah lain yang memerlukan pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai kabin berkenaan, Mohd Zulhairi berkata, pihaknya membeli kemudahan itu dengan harga sekitar RM100,000 yang diperoleh menerusi sumbangan orang ramai sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat beberapa kemudahan di dalam kabin berkenaan antaranya seperti tempat mandi jenazah, tangki air bersih, pam air, tangki septik simpanan air terpakai, ruang solat jenazah dan beberapa lagi.

Terdapat juga ruangan solat jenazah di dalam kabin berkenaan.
Terdapat juga ruangan solat jenazah di dalam kabin berkenaan.

"Air yang dah digunakan untuk mandikan jenazah itu akan disalurkan masuk ke tangki septik disediakan di kabin berkenaan dan dibawa ke surau tempat kami uruskan jenazah di Bangi untuk dibuang selepas itu.

"Kami sentiasa menjaga adab pengurusan jenazah dan tidak membuang air mandian sesuka hati," katanya.

Katanya lagi, buat masa ini, Amal Valley Organization mempunyai seramai kira-kira 25 orang sukarelawan bagi membantu melaksanakan tuntutan fardu kifayah tersebut.

"Dulu kami bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Amal Team, namun ia tidak dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Oleh sebab itu kita tukar kepada nama Amal Valley Organization.

"Alhamdulillah, sehingga kini, kami mendapat sokongan dan bantuan dari banyak pihak khususnya sukarelawan yang sedia membantu," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zulhairi berkata, pihaknya juga kini sedang dalam proses bagi mengubahsuai sebuah premis untuk dijadikan Kedai Makan RM2 bagi membantu golongan memerlukan khususnya sekitar kawasan Bangi.

Katanya, bayaran RM2 yang dikenakan itu sebenarnya hanyalah sebagai akad, namun jika ada orang kurang berkemampuan, pihaknya tidak akan mengenakan sebarang caj bayaran.

Kabin pengurusan jenazah bergerak dapat beroperasi di mana-mana.
Kabin pengurusan jenazah bergerak dapat beroperasi di mana-mana.

"Kita sediakan makan pagi, tengah hari dan petang/malam. Jika orang berkemampuan boleh bayar seperti biasa, jika mampu bayar RM2 pun kami terima. Dan jika langsung tiada wang juga kami turut beri makanan secara percuma," katanya.

Tambah Mohd Zulhairi, beliau hanya berharap agar usaha yang diperjuangkannya bersama sukarelawan NGO berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan di negara ini.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan bagi membantu usaha Mohd Zulhairi ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank: 562263553821(Amal Valley Organization).