Penyeludupan minuman keras RM1.6 juta tumpas

Acryl Sani (tiga, kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
Acryl Sani (tiga, kanan) menunjukkan minuman keras yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan minuman keras yang aktif beroperasi di sebuah kilang di Bukit Kinrara, di sini, lumpuh selepas digempur polis.

Serbuan kira-kira jam 7 pagi, kelmarin itu dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Perisikan/Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pengarah KDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seramai sembilan lelaki berusia lingkungan 26 hingga 57 tahun berjaya diberkas ketika sedang menjalankan kerja pemunggahan.

Menurutnya, semakan mendapati lima suspek ini merupakan warga Myanmar, manakala selebihnya warga tempatan.

"Pemeriksaan lanjut telah merampas sebanyak 553 kotak minuman keras tanpa cukai pelbagai jenama terkenal dianggar bernilai RM1.6 juta.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, sindiket membawa masuk minuman keras tulen ini secara tidak sah dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air," katanya dalam sidang media di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, polis turut merampas 2,000 keping setem duti kastam disyaki palsu yang digunakan sindiket yang dipercayai telah aktif sejak dua tahun lalu bagi mengaburkan kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Tambahnya, dua buah lori, dua buah kenderaan jenis Hyundai Getz dan Toyota Avanza serta sebuah forklif telah disita.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendedahkan, polis percaya minuman keras ini dijual dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dalang dan rangkaian terbabit. Suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.

Dalam kes berlainan, polis Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok di Banting, Selangor, semalam.

"Sebanyak 53 buah kotak rokok bernilai RM100,000 telah dirampas," katanya.