Saingan La Liga kini ibarat Piala Dunia

Zidane menyifatkan jadual saingan La Liga ibarat pusingan akhir Piala Dunia.
Zidane menyifatkan jadual saingan La Liga ibarat pusingan akhir Piala Dunia.
A
A
A

Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane menjangkakan barisan pemain Los Blancos bakal berdepan baki saingan La Liga musim ini ibarat menghadapi kempen Piala Dunia.

Menurutnya, jadual baki perlawanan menjadi lebih padat apabila berlangsung selang tiga hari berbanding saingan sebelum penangguhan liga pada Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

“Secara jujurnya, saya merasai suasana saingan La Liga kini seperti pusingan akhir Piala Dunia dengan kepadatan jadual perlawanan yang perlu diharungi setiap kelab.

“Begitupun, saya percaya para pemain sudah cukup berpengalaman berdepan situasi seperti ini. Jadi saya tidak terlalu bimbang dalam mengharungi baki saingan kompetitif ini yang semestinya menjejaskan sedikit aspek kecergasan pemain,” katanya.

Zidane memberitahu, dia sudah melakukan persiapan rapi sebelum saingan liga kembali bersambung mulai kelmarin selain menyifatkan pengalaman dalam kalangan pemain Real sebagai kekuatan kelab itu.

“Pemain saya tahu bagaimana rasanya beraksi pada kempen Piala Dunia atau Kejohanan Eropah (Euro). Yang penting adalah persiapan dan saya percaya kami sudah bersiap sedia dengan sebaik mungkin.

“Saya berkeyakinan tinggi bahawa apa yang sudah kami lakukan sebelum ini dan sekarang kami harus menunjukkannya di atas padang,” ujarnya.

Pada masa sama, Zidane turut optimis anak-anak buahnya mampu menyaingi Barcelona dalam memburu trofi kejuaraan liga musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Jarak kami dengan Barcelona tidak terlalu jauh. Saya yakin kami mampu memberikan segala-galanya untuk memenangi kejuaraan musim ini,” jelasnya.