Baru keluar penjara kena tahan lagi!

Mohd Adli (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas hasil serbuan di rumah suspek di Kampung Kemat, Kuala Berang, Hulu Terengganu
Mohd Adli (kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas hasil serbuan di rumah suspek di Kampung Kemat, Kuala Berang, Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki yang baru dibebaskan dari penjara hujung tahun lalu kerana kesalahan dadah sekali lagi ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kemat, Kuala Berang, di sini, petang Sabtu lalu.

Serbuan jam 4.20 petang itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu hasil maklumat dan risikan berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah di lokasi itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, selain menahan lelaki berusia 52 tahun itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM180 dipercayai hasil jualan barang terlarang tersebut dan sebuah kereta jenis Perdana milik suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek menemukan satu beg kecil berzip warna merah bertulis seeingly yang disembunyikan di bawah tilam tebal di dalam bilik tersebut.

"Pemeriksaan lanjut di dalam beg berkenaan menjumpai tiga botol lutsinar bertudung kuning setiap satu berisi serbuk putih, satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dan tiga tiub straw lutsinar berjalur merah jambu yang setiap satu berisi ketulan kristal disyaki dadah.

"Turut dijumpai satu paket plastik lutsinar berisi 26 biji pil merah jambu dan satu pil warna hijau serta satu tiub straw lutsinar berjalur merah jambu berisi enam biji pil warna merah disyaki dadah," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Adli berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang memiliki lima rekod jenayah kesalahan lampau berkait dadah menerima semua bekalan barang terlarang itu daripada seorang lelaki bergelar 'Mat' dari Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang, di sini.

"Suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu untuk kegunaannya sendiri dan turut dijual kepada tokan-tokan kecil di sekitar kawasan Kampung Durian Bador, Padang Setar dan Sekayu, di sini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, suspek dipercayai menjual sendiri kepada penagih di sekitar rumahnya dan di kawasan Kampung Kemat, di sini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.