44 kontak rapat empat pelajar Mesir di Kelantan negatif Covid-19

Gambar hiasan.(Gambar kecil: Datuk Dr Zaini Hussin)
Gambar hiasan.(Gambar kecil: Datuk Dr Zaini Hussin)
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 44 orang kontak rapat iaitu keluarga terdekat kepada empat pelajar dari Mesir yang positif koronavirus (Covid-19) tidak dijangkiti penyakit tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, keputusan ujian saringan yang dilakukan kepada semua kontak-kontak tersebut mendapati mereka negatif wabak tersebut.

“Alhamdulillah kita sudah mengesan kesemua kontak rapat empat pelajar Mesir yang positif Covid-19 sebaik tiba di Kelantan baru-baru ini.

“Kesemua pelajar berkenaan kini menjalani rawatan di Hospital Tumpat dan mereka tidak bergejala sebagaimana pesakit lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun kontak-kontak tersebut negatif wabak itu, namun mereka tetap perlu menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing selama dua minggu.

Ketika ditanya mengenai pelajar tersebut, Zaini berkata, mereka semua dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Tumpat.

“Pada awalnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat saringan kepada pelajar-pelajar tersebut di lapangan terbang sebaik tiba di Malaysia namun keputusannya adalah negatif.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, ujian saringan kali kedua mereka disahkan positif dan dihantar ke Hospital Tumpat,” katanya.