Covid-19: Prosiding pindaan laporan audit 1MDB ditangguh sehari

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terpaksa ditangguh sehari ekoran risiko koronavirus (Covid-19).

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, penangguhan ini akan mengurangkan risiko kepada semua pihak yang hadir di mahkamah hari ini memandangkan beliau menjadi kontak rapat kepada seorang rakan peguam, Rahmat Hazlan yang mengalami demam panas dan batuk.

Menurutnya, beliau tidak teragak-agak untuk melakukan pemeriksaan kali keenam sekiranya Rahmat yang ditemui bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund di Shah Alam semalam didapati mempunyai gejala Covid-19.

“Pagi ini, saya terima pesanan teks menyatakan dia mengalami demam dengan suhu agak tinggi.

“Walaupun ini akan menjadi pemeriksaan Covid-19 kali keenam tapi saya tak mahu ambil risiko,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, Rahmat juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan sama hari ini dan keputusan akan diperoleh dalam masa 24 jam.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zaini Mazlan membenarkan permohonan berkenaan dan mengarahkan prosiding disambung esok.

Pada 12 Disember 2018, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Arul Kanda hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.
Arul Kanda hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan audit laporan 1MDB hari ini.

Beliau didakwa dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.