Bekas peguam dituduh pecah amanah RM358,000

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM358,000 antara tahun 2017 hingga 2018.

Tertuduh Norazila Md Hilal, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Dia didakwa melakukan jenayah pecah amanah dengan menyalahgunakan RM358,000 milik anak guamnya bernama Chan Ah Har @ Chen Ah Siah, 69, yang dibayar oleh Public Islamic Bank Berhad ke dalam akaun firma guaman tersebut di pejabat Tetuan Azila & Co di sini antara 29 November 2017 hingga 7 Februari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Lee Yuek Ching, 53, dan Lai Kwee Seong, 60, masing-masing merupakan bekas pengurus dan bekas kerani firma guaman itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Norazila dalam melakukan jenayah pecah amanah itu di tempat dan pada tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Norazila diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Yuek Ching dan Kwee Seong masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai sebagai sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari manakala Norazila diwakili peguam R Manian dan Yuek Ching serta Kwee Seong diwakili peguam Veni Paul. - Bernama

Artikel Berkaitan: