MOA galak graduan ceburi sektor pertanian

Cek Abdullah (dua dari kanan) mengacau serunding yang diproses di Kampung Kok Pasir hari ini.
Cek Abdullah (dua dari kanan) mengacau serunding yang diproses di Kampung Kok Pasir hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan bukan sahaja secara serius menggalakkan golongan muda terlibat dalam sektor pertanian tetapi turut mengajak graduan bersama-sama dalam usaha meremajakan industri penting negara itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, inisiatif dan galakan kerajaan itu juga sebenarnya adalah sebahagian usaha bagi mengatasi masalah penggangguan dalam kalangan mahasiswa.

Sehubungan itu menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan memperkenalkan Program Agropreneur Muda bermula tahun 2016 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Katanya, program melibatkan golongan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun itu bertujuan membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor agromakanan seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri makanan dan agropelancongan.

“Sehingga kini kementerian telah membantu seramai 6,057 orang peserta dengan nilaian RM107.65 juta melalui kelulusan geran dan Pembiayaan Khas Agropreneur Muda sejak tahun 2016.

“Daripada jumlah itu seramai 6,005 peserta menerima bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM104.35 juta manakala 52 orang mendapat bantuan dalam bentuk pembiayaan bernilai RM3.30 juta,” katanya kepada media hari ini.

Che Abdullah bergambar bersama penerima geran dan penduduk kurang bernasib baik yang diraikan.
Che Abdullah bergambar bersama penerima geran dan penduduk kurang bernasib baik yang diraikan.

Terdahulu beliau merasmikan Jelajah Agropreneur Muda Negeri Kelantan 2020 di Dewan Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Palekbang di Tumpat.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri, Abdul Azziz Kadir dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Pada program itu juga Che Abdullah turut menyampaikan kit bantuan Makanan Agropreneur Muda kepada 15 penerima kurang bernasib baik yang dikenal pasti oleh pejabat KADA.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berharap menerusi peruntukan yang disediakan dapat membuka minda golongan muda termasuk lepasan siswazah bahawa sektor berkenaan menjanjikan masa depan yang cukup baik.

Pada program jelajah hari ini Che Abdullah turut melawat Projek Agropreneur Muda di Tumpat iaitu pemprosesan serunding diusahakan Muhamad Tarmizi Salleh, 35, di Kampung Kok Pasir yang mendapat bantuan geran bernilai RM15,000.

Beliau turut melawat projek ternakan ayam kampung diusahakan pengusaha muda berusia 25 tahun, Mohd Firdaus Hashim yang menerima bantuan geran bernilai RM20,000 tahun 2017.

Selain itu, Che Abdullah juga meninjau projek pemprosesan sos, kicap dan tepung dijalankan Shahira Elani Mat Daud, 35, di Pusat Aprentis Jabatan Pertanian Chabang Empat di sini.