X

Kindly register in order to view this article
!

'Beli beratus ringgit tapi mengkal pula'

Azleen memuat naik status di Facebook menyatakan kekecewaannya terhadap peniaga durian berkenaan.
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang wanita kecewa apabila durian musang king yang dibeli dengan harga beratus ringgit dari sebuah gerai di tepi jalan di sini tidak dapat dinikmati oleh ahli keluarganya kerana isi buah tersebut mengkal (belum masak).

Azzlen Kamal, 41, berkata, suaminya, Romesyam Abu Samah, 45, membeli dua biji durian itu pada harga RM112 kira-kira jam 8.30 malam tadi dengan harapan untuk dimakan bersama tiga anak mereka di rumah.

"Malangnya isi buah durian dibeli itu semuanya masih muda dan keras, tidak setimpal dengan harga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut wanita itu, mereka sekeluarga tidak memakan durian tersebut dan cuba memulangkan buah durian itu kepada peniaga berkenaan.

"Namun, ketika suami saya ingin memulangkan semula durian tersebut, peniaga itu tidak menghiraukan kehadiran suami dan asyik melayan pelanggan lain.

"Setelah beberapa minit menunggu, suami mengambil keputusan meletakkan durian tersebut dan terus beredar pulang ke rumah," katanya.

Tambah Azleen, sikap sedemikian peniaga tersebut amat dikesali kerana menjual buah durian pada harga tinggi tetapi kualiti isi buah yang rendah.

"Kami beli dengan harga mahal, sudah tentu kami mahukan jaminan durian yang dibeli setimpal dengan harga.

"Kami bukan beli durian longgok dengan harga murah, kami mengeluarkan duit untuk kepuasan menikmati durian bersama keluarga," katanya.

Menurutnya, dia berharap penjual durian berkenaan memulangkan semula wang mereka.

"Kami anggap ini bukan rezeki kami dan berharap tiada pelanggan lain ditipu pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Ujarnya, meskipun kejadian itu tular di Facebook, namun pihak penjual masih belum mengemukakan sebarang permohonan maaf secara peribadi melainkan hanya menerusi komen di Facebook.

"Saya simpati jika ada mangsa lain terkena seperti saya apatah lagi jika mereka tinggal jauh dan membeli durian dengan harga mahal namun isinya tidak seperti diinginkan," katanya.

Azleen sebelum ini memuat naik status berhubung kekecewaannya di laman Facebook mengenai durian itu.

Status dimuat naik itu kemudian tular dan menerima pelbagai tanda reaksi serta komen daripada pengendali Facebook lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!