Sindiket dadah Geng Ah Poh, Handsome tumpas

Ayob Khan (kanan) melihat barang rampasan antaranya melibatkan pelbagai jenis dadah, pistol tiruan dan wang tunai selepas menumpaskan dua sindiket, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Ayob Khan (kanan) melihat barang rampasan antaranya melibatkan pelbagai jenis dadah, pistol tiruan dan wang tunai selepas menumpaskan dua sindiket, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah Geng Ah Poh dan Geng Handsome di daerah ini, selain merampas dadah dan aset bernilai lebih RM2 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua sindiket itu yang bersaing antara satu sama lain ditumpaskan menerusi 15 serbuan di sekitar daerah ini, Seri Alam, Kota Tinggi dan Pontian dari 2 hingga 9 Jun lalu.

"Sindiket pertama yang berjaya ditumpaskan ialah Geng Ah Poh dianggotai 12 suspek.

"Sindiket ini diketuai lelaki warganegara Singapura berusia 43 tahun yang membekalkan syabu seberat satu kilogram (kg) setiap dua hari kepada tokan-tokan dadah di Johor Bahru, Pontian dan Plentong.

"Sindiket kedua pula diketuai seorang warga tempatan berusia 44 tahun dikenali sebagai Handsome yang dianggotai enam suspek termasuk isteri kepada ketua sindiket ini," katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Wang tunai RM71,045 dan sepucuk pistol tiruan dengan 29 butir peluru antara barang yang dirampas selepas menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.
Wang tunai RM71,045 dan sepucuk pistol tiruan dengan 29 butir peluru antara barang yang dirampas selepas menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

Katanya, ketua sindiket itu aktif mengedar dadah sejak 2002 dan pernah enam kali ditangkap dari 2002 hingga tahun ini selain menggunakan premis perniagaan lampu perhiasan di sini sejak lapan tahun lalu untuk mengaburi aktiviti pengedaran dadah.

Turut ditangkap katanya, anggota sindiket dikenali sebagai profesor yang bertanggungjawab menyukat dan membungkus syabu sebelum diedarkan kepada tokan-tokan sekitar daerah ini, Seri Alam dan Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan, 18 suspek melibatkan dua sindiket itu berjaya ditangkap terdiri daripada 11 lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara Singapura dan enam perempuan tempatan berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

Jelasnya, kesemua anggota sindiket tersebut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Hasil saringan urin katanya, seramai 16 suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Dengan tumpasnya dua sindiket ini, kita berjaya merampas 320.07 gram (g) syabu; 116.88g heroin; 3.70g ketamin; 310 biji pil ekstasi; 103 biji pil erimin 5 dan 53 biji pil yaba.

"Turut dirampas sepucuk pistol tiruan bertulisan Blow 92 dan 29 butir peluru," katanya.

Pihaknya juga menyita satu barang kemas dianggarkan bernilai RM8,000; 15 buah kenderaan dianggar bernilai RM834,000; wang tunai RM71,045, 18 akaun bank tempatan milik lapan individu dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah berjumlah RM117,354.

Ayob memberitahu, jumlah keseluruhan sitaan bernilai lebih RM1 juta dan begitu juga nilai rampasan pelbagai jenis dadah lebih RM1 juta.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.