CEO PPSPM didakwa terima suapan RM260,000

Mohd Fariz (depan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) Ayer Keroh di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima rasuah, berjumlah RM260,000, tiga tahun lalu.
Mohd Fariz (depan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) Ayer Keroh di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima rasuah, berjumlah RM260,000, tiga tahun lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima rasuah, berjumlah RM260,000, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mohd Fariz Mohd Ali,38, mengaku tidak bersalah bagi keempat-empat pertuduhan itu serta empat pertuduhan pilihan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd Fariz yang ketika itu berjawatan sebagai Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk (PPSPM) didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah keseluruhan RM260,000 secara empat pertemuan berasingan dengan seorang individu, Osman Abdul Rahman yang merupakan wakil syarikat pembekalan bot, LEC Impression Sdn Bhd untuk mendorong memperolehi projek membekal beberapa buah bot Melaka River Cruise (MRC) kepada PPSPM.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza dalam daerah Melaka Tengah iaitu di Taman Peringgit Jaya dan Taman Puncak Bertam dalam tempoh bermula 4 Januari 2017 sehingga 15 November 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Mohd Fariz berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama tertuduh turut didakwa bagi empat pertuduhan pilihan menerima suatu benda berharga iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM260,000 dengan tiada balasan daripada ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit dalam tempoh yang sama dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM50,000, manakala tertuduh diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Aiman Abdul Rahman memohon ikat jamin yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000, dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada SPRM dan melaporkan diri minggu pertama setiap bulan kepada SPRM.

Mahkamah turut menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes.