Jagung susu ganti tanaman tembakau di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jagung susu yang terkenal di Cameron Highlands kerana rasanya yang manis dan berlemak berpotensi mengambil alih tanaman tembakau sebagai antara tanaman kontan utama di Kelantan selepas kawasan seluas 24 hektar di Kampung Keladang di sini diperuntukkan untuk tanaman itu.

Projek yang mendapat kerjasama penuh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu kini dalam peringkat percubaan melibatkan kawasan seluas 0.8 hektar dan dijangka mengeluarkan hasil pertama pada pertengahan bulan depan.

Menurut ketua projek, Mohd Zaid Hanapi, kawasan itu dipilih kerana tanahnya sesuai untuk tanaman tersebut selain berhampiran Sungai Kelantan sekali gus memudahkan pengairan.

“Untuk kawasan seluas 0.4 hektar, kita boleh tanam sehingga 20,000 pokok jagung dan peserta mampu memperoleh lebih RM10,000 setiap musim penanaman yang mengambil masa dua bulan.

"Apabila berjaya dalam projek percubaan ini, tanaman akan diperluas melibatkan kira-kira 60 ekar (24 hektar) tanah rizab sungai yang diluluskan oleh kerajaan negeri untuk menjalankan projek berskala besar melibatkan lebih 60 peserta,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Zaid berkata, peserta tidak perlu mengeluarkan modal sebaliknya sebuah syarikat akan membantu membekalkan benih, baja dan racun serta urusan pembajakan tanah.

"Peserta hanya akan menjaga tanaman ini sahaja dan hasilnya akan dibeli oleh syarikat itu sendiri dan peserta akan dikembalikan dalam bentuk keuntungan," katanya.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdulah Mat Nawi sendiri telah datang dan memberikan benih dari Taiwan itu kepada peserta dan menggalakkan penduduk kampung menanam jagung tersebut yang mampu memberikan pulangan lebih lumayan berbanding tembakau.

Artikel Berkaitan:

Seorang peserta, Rozana Ghazali, 49, berkata, tanaman percubaan yang diusahakannya mula menampakkan hasil dan yakin akan mendapat sambutan daripada penduduk kampung yang rata-ratanya petani.

"Kami pun sangat teruja untuk melihat hasil percubaan kerana ia mampu mengubah kehidupan penduduk yang rata-ratanya petani yang sangat terkesan dengan kehidupan ketika isu Covid-19 ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Janas Agro Adn Bhd Mohd Rahimie Ibrahim berkata, syarikatnya terpanggil untuk membantu penduduk kampung tersebut apabila melihat kesempitan hidup mereka ketika Covid-19 ini.

Katanya, beliau menerima kerjasama baik daripada semua pihak termasuk pembekal benih jagung itu dari Taiwan dan berharap penduduk terutamanya petani dapat menyahut cabaran untuk menanam jagung berkenaan.

"Buat permulaan ini syarikat kami akan membantu segala-galanya termasuk membeli hasil jagung itu nanti dan mengembalikan keuntungan kepada peserta. Tanaman jagung ini boleh dituai sebanyak empat kali bagi setiap musim penanaman di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya juga telah membekalkan benih jagung sama kepada beberapa penduduk kampung di Tumpat untuk mereka memulakan tanaman tersebut. - Bernama