X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada kenaikan harga gunting rambut ketara di Pulau Pinang

Gambar hiasan. - fotoBERNAMA
A
A

GEORGETOWN - Tiada kenaikan harga perkhidmatan gunting rambut yang ketara di Pulau Pinang sejak sektor itu dibenarkan beroperasi semula selain penyedia perkhidmatan juga mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, berdasarkan pemeriksaan ke atas 15 premis setakat ini, pihaknya mendapati pengusaha mampu menyerap kos tambahan susulan penguatkuasaan SOP terbabit.

"Setakat hari ini KPDNHEP Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga bagi perkhidmatan gunting rambut di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

KPDNHEP sebelum ini dilaporkan hanya membenarkan penyedia perkhidmatan gunting rambut mengenakan caj tambahan untuk dua barangan kegunaan pelanggan iaitu alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan.

Operator juga perlu memastikan caj tambahan itu berpatutan dengan merujuk kos belian bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

Mohd Ridzuan turut mengulangi ingatan bahawa tindakan tegas bakal diambil terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin berkata, ada keperluan untuk penyedia perkhidmatan gunting rambut menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

“Memandangkan dah ada 40 kes positif (Covid-19) kontak rapat di kedai gunting rambut seluruh negara, saya akan tanya Majlis Keselamatan Negara sama ada perlu (penyedia perkhidmatan gunting rambut) turut menjalani ujian tersebut," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus