KHM patuhi SOP, utamakan kesihatan pemain

Laporan Sinar Harian berhubung saranan Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang mahu KHM mempertimbangkan semula cadangan meneruskan penganjuran saingan Piala Tun Abdul Razak. Gambar kanan: Anil Jeet Singh
Laporan Sinar Harian berhubung saranan Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang mahu KHM mempertimbangkan semula cadangan meneruskan penganjuran saingan Piala Tun Abdul Razak. Gambar kanan: Anil Jeet Singh
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menegaskan bahawa badan induk hoki negara itu tidak sewenang-wenangnya mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan pemain muda negara dalam merancang menganjurkan kejohanan tempatan.

Sebaliknya menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, dua aspek itu tetap menjadi keutamaan KHM paling tinggi pada ketika semua pihak berusaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Saya memang mahu mengadakan saingan Piala Tun Abdul Razak yang dijadualkan pada Ogos dan saingan Liga Hoki Remaja Kebangsaan pada September itu saya takkan tunda, tapi semua dengan nasihat serta panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Takkanlah saya mahu menganjurkan kejohanan tempatan yang akan menjejaskan keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai tanpa merujuk terlebih dulu kepada KKM dan MKN.

“Biarpun begitu di sini saya kongsikan perkembangan terkini bahawa KHM sudah mendapat kebenaran untuk mengadakan sesi latihan bagi aktiviti hoki pada Julai depan dan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dibentangkan kepada pihak kerajaan, saya yakin menjelang September KHM akan dapat kebenaran menganjurkan kejohanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) berharap supaya KHM mempertimbangkan cadangan meneruskan penganjuran saingan Piala Tun Abdul Razak.

Menurut Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, kajian semula penganjuran itu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP) dilaksanakan kerajaan sehingga 31 Ogos depan.

ARTIKEL BERKAITAN: KHM, jangan terburu-buru!

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anil berharap pihak berkenaan lebih profesional dalam membantu KHM memperkasakan kembali arena hoki negara pada masa depan.

“Saya harap pihak berkenaan tidak terus menerus mencari publisiti murahan kerana semua tahu kita sedang berusaha memutuskan rantaian Covid-19 begitu juga dengan KHM yang sentiasa mematuhi arahan dikeluarkan pihak kerajaan menerusi PPKP.

“Kami di KHM sentiasa berusaha untuk memartabatkan kembali arena hoki negara pada masa sama mengembangkan lagi pencarian bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi untuk skuad negara pada masa depan.

“Jadi di sini saya juga berharap PHKL dapat menghantar skuad hoki menggunakan identiti Kuala Lumpur berbanding nama kelab dalam pertandingan liga anjuran KHM,” katanya.