Disiplin resipi kekang Covid-19

A
A
A

RESIPI kejayaan Malaysia menangani penularan Covid-19 sebenarnya hasil kerjasama pihak berkuasa, barisan hadapan dan rakyat.

Strategi bersistematik yang diperkenalkan Malaysia mengurus krisis ternyata membuahkan hasil sehingga kita berjaya mengurangkan kes baharu Covid-19 ke angka satu digit.

Syabas dan cukup membanggakan. Sehingga Malaysia muncul negara paling berjaya di dunia dalam menguruskan pandemik yang merbahaya ini.

Bagaimanapun, ia bukan bererti kita sudah boleh melupakan normal baharu. Alpa dan melanggar peraturan yang kita lakukan bersama lebih empat bulan yang lalu.

Sentiasa elakkan ke tempat sesak, jaga jarak sosial dan juga menjaga kesihatan. Perkara ini semestinya sudah menjadi kelaziman atau kewajipan apabila kita ingin ke mana-mana sahaja.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menunjukkan trend jangkitan Covid-19 yang semakin menurun.

Statistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

Ini membuktikan Malaysia berjaya membendung penularan Covid-19 dengan berkesan dan kini sedang memasuki fasa pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan ini adalah kejayaan bersama kerana rakyat berdisiplin, mematuhi arahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 memberikan banyak kelonggaran.

Kita sudah mula kembali menjalani aktiviti kehidupan seharian di alam normal baharu di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Ini termasuk perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

Sudah tentu kita bersyukur dan berterima kasih dengan kebenaran ini. Perkara yang kita dambakan selama ini kunjung tiba. Mampu mengubat kerinduan untuk melakukan rutin harian seperti biasa.

Mulai 10 Jun seawal jam 12.01 malam ramai yang merentas sempadan balik ke kampung menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain.

Malahan kunjungan kali ini dianggap 'raya kedua' kerana pada hari raya baharu lalu ramai tidak berkesempatan meraikan bersama keluarga tersayang di kampung.

Namun apa yang diperhatikan dan respons daripada teman, timbul kegusaran jika penularan Covid-19 meningkat kembali. Di restoran ramai yang masuk dan duduk tanpa menulis nama dan menentukan suhu badan.

Di pusat membeli belah segelintir ibu bapa membawa anak kecil. Malah ramai juga pekedai yang mula 'alpa' untuk memastikan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Seolah-olah sudah bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan atau risikonya.

Kita perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di negara China apabila rakyatnya mula melanggar arahan dan SOP, kes penularan meningkat kembali.

Begitu juga apabila kebenaran di beberapa masjid utama di Negara Arab menyebabkan jangkitan meningkat akibatnya kebenaran solat berjemaah di tarik balik.

Aktiviti

Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Begitu juga perkhidmatan gunting rambut dan salun, pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga dibenarkan.

Begitu juga mesyuarat dan bengkel dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.

Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.

Sukan yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai.

Alhamdulillah, sambutan Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan mula diumumkan mengikut arahan negeri masing-masing.

Sekolah juga akan dibuka secara berperingkat mulai 24 Jun ini. Walaupun banyak kelonggaran, ini tidak bermakna tiada lagi apa-apa sekatan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengawal penularan Covid-19.

Pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara terus mengingatkan agar kita sentiasa jaga kebersihan diri, penjarakan sosial, penggunaan topeng hidung dan mulut di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau 'hand sanitizer' adalah kebiasaan baharu yang mesti diamalkan.

Kes Covid-19 sebenarnya masih merebak dan menular. Namun kita percaya jika rakyat terus berdisiplin dan mengikut arahan pihak berkuasa, suatu hari nanti Covid-19 akan berakhir, menjadi pengalaman bermakna dalam hidup kita.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA