Manfaatkan sesi latihan 45 minit

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

SEMUA pasukan saingan Liga Malaysia (Liga-M) perlu memanfaatkan sesi latihan pasukan berdurasi 45 minit seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, sesi latihan itu juga akan hanya melibatkan 10 pemain bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Apa yang saya dengar latihan tak boleh lebih daripada 45 minit. Ini adalah kali pertama pasukan akan berlatih dalam tempoh 45 minit sahaja. Bagaimanapun kita kena ikutlah arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Yang penting kita sebagai jurulatih kenalah cari ramuan latihan yang boleh dimasukkan dalam tempoh 45 minit itu. Takkanlah selama 45 minit tu berlari sahaja. Ini bola dan latihan mesti ada kena mengena dengan bola.

“Kita juga perlu elakkan daripada melakukan sebarang kontak ketika sesi latihan berjalan. Secara keseluruhannya, ini adalah kali pertama pasukan berlatih setelah berehat tiga bulan akibat penangguhan Liga-M sejak 16 Mac lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Sathianathan yang juga pengendali Selangor berkata, skuad The Red Giants itu akan melakukan ujian saringan Covid-19 di pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) esok.

Katanya, kesemua pemain serta pegawai pasukan terutamanya yang berada terlibat pada hari perlawanan akan menjalani latihan berkenaan akan menjalani 'swab test' dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL setelah mendapat pengesahan daripada doktor pasukan.

“Bila dapat keputusan tu, barulah kita akan mulakan latihan tetapi keputusannya akan diperoleh mengambil masa selama dua hari.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan buat 'fat test' (ujian lemak) kepada semua pemain. Daripada situlah, kita akan tahu sama ada pemain berkenaan ikut dan buat kerja rumah yang kita berikan,” katanya.