‘Jangan terlalu tekan cari bukti ada niat membunuh’

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan akta dan undang-undang sedia ada terhadap pemandu mabuk seharusnya tidak terlalu menekankan aspek mencari bukti sama ada pesalah membunuh dengan niat atau sebaliknya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, beliau memahami konsep undang-undang memerlukan bukti kukuh yang mengakibatkan sesuatu jenayah itu berlaku.

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan untuk melakukan sebarang pindaan perlu melihat kepada akibat daripada kesalahan yang dilakukan.

“Jika akibatnya sesuatu yang bersifat jenayah mungkin undang-undang melihat (apa) niat.

“Tetapi jika akibatnya sangat berat sehingga ada yang menjadi mangsa, maka undang-undang itu perlu sampai ke peringkat bahawa kita tidak terlalu menekankan aspek untuk mencari bukti sama ada betulkah dia (pesalah memandu mabuk) berniat (membunuh).

“Sebab orang yang sudah mabuk tahu akibat mabuk boleh menjadi punca kemalangan. Banyak insiden yang berlaku, jadi tidak perlu kita melihat sehingga ‘sehalus’ itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, walaupun pindaan itu tidak sampai ke tahap meminda Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi paling utama ialah penilaian untuk menambah hukuman supaya lebih berat.

“Pokoknya undang-undang perlu kuat dan sampai ke peringkat menghalang sesiapa yang berani melakukannya.

Artikel Berkaitan:

“Undang-undang yang ada sekarang seolah-olah masih tidak menghalang orang lakukan (memandu mabuk). Ada yang masih berani melakukannya, bermakna jelas undang-undang sedia ada tidak menakutkan mereka,” katanya.