PRK Chini penanda aras undian ketika Covid-19

PRK DUN Chini mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila terpaksa diadakan dalam tempoh Malaysia dan dunia amnya masih dilanda pandemik Covid-19.
PRK DUN Chini mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila terpaksa diadakan dalam tempoh Malaysia dan dunia amnya masih dilanda pandemik Covid-19.
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai ini, manakala hari penamaan calon adalah pada 20 Jun. Tarikh bagi pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.

PRK kali ini mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila terpaksa diadakan dalam tempoh negara Malaysia dan dunia amnya masih dilanda pandemik Covid-19.

Wabak yang mengubah banyak kehidupan normal manusia kepada budaya baharu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, SPR dilihat sudah bersedia untuk mengadakan PRK dalam norma baharu.

SPR sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) iaitu pastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka, saringan suhu, sanitasi tangan dan sarung tangan plastik untuk pengundi serta petugas.

Kemudian SPR menyediakan khemah khas di mana petugas di dalam khemah itu akan memakai set lengkap peralatan pelindung diri (PPE).

Kemudahan itu adalah bagi pengundi yang didapati bergejala semasa saringan suhu, orang yang positif Covid-19 atau dikuarantin.

Kalau sebelum ini pengundi celup jari dalam dakwat khas, kali ini SPR menggunakan berus khas untuk setiap pengundi.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan SOP baharu, anggaran kos untuk PRK Chini meningkat dua kali ganda menjadi RM4.7 juta berbanding PRK DUN Rantau, Negeri Sembilan sebanyak RM1.87 juta yang dianggap PRK paling tinggi kos sebelum ini.

Bagaimanapun, adakah parti-parti dan calon yang bertanding sudah bersedia untuk berkempen dalam norma baharu?

Apakah pendekatan yang boleh diambil parti bertanding untuk memikat hati pengundi dengan menggunakan teknologi komunikasi yang ada?

Jika sebelum ini jumlah kehadiran di sesuatu ceramah boleh dijadikan kayu pengukur tahap sokongan kepada sesuatu parti, adakah kali ini jumlah 'likes', komen, perkongsian dan tontotan 'live' boleh dijadikan ukuran dalam menentukan keputusan undian.

Sama-sama kita tunggu dan lihat sama ada sentimen pengundi tetap sama atau berubah ketika tempoh berkempen ketika Covid-19.