Jangkitan baharu Covid-19 turun kepada lapan kes

Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) turun kepada lapan kes lapan hari ini dengan satu kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,453 kes.

"Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

"Daripada enam kes penularan di dalam negara pula, empat kes adalah bukan warganegara manakala dua kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kesemua empat kes jangkitan dalam kalangan bukan warganegara adalah daripada kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2.

Menurutnya, kes penularan Covid-19 dalam negara melibatkan warganegara Malaysia pula membabitkan satu kes saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak dan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah.

"Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Dengan pertambahan satu kes kematian, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 121 kes (1.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes kematian itu melibatkan kes jangkitan ke-7,468 membabitkan lelaki warganegara India (orang kena tahan - OKT) di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Katanya, mangsa berumur 67 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang.

"Mangsa didapati tidak sedarkan diri di DTI Bukit Jalil dan telah segera dibawa ambulans ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Mangsa disahkan meninggal dunia kelmarin (12 Jun). Saringan ujian Covid 19 didapati positif dan keputusan penuh bedah siasat masih dalam proses," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, sebanyak 35 kes Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, susulan itu jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 7,346 kes (86.9 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.