OA jadi panduan pembangunan penerbangan negara

Ka Siong (tiga dari kiri) bersama pihak berkepentingan dan peserta 'Outcomes of OA Workshop' yang diadakan di MAHB.
Ka Siong (tiga dari kiri) bersama pihak berkepentingan dan peserta 'Outcomes of OA Workshop' yang diadakan di MAHB.
A
A
A

SHAH ALAM – Perjanjian Operasi (OA) yang melibatkan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan pihak kerajaan sehingga tahun 2069 adalah panduan penting untuk pembangunan penerbangan negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, OA itu dijangka memudahkan MAHB memperkukuhkan lapangan terbang di Malaysia dan menjadi hab penting bagi perjalanan udara dan logistik di Malaysia.

“OA akan dijadikan asas hubungan antara kerajaan dan (MAHB), malah kami menjangkakan bakal membuka jalan bagi sektor penerbangan Malaysia untuk kembali membangun selepas terkesan akibat penularan Covid-19.

“Sehubungan itu, OA perlu mesra pelabur, memberi nilai manfaat kepada pengguna dan menerangkan kepada semua pihak berkepentingan mengenai apa yang diharapkan serta apa yang dapat dilaksanakan secara komersial,” katanya ketika ucapan penutup program 'Outcomes of OA Workshop' di sini hari ini.

Menurutnya, OA sangat penting untuk membangunkan 39 lapangan terbang negara termasuk lima lapangan terbang antarabangsa dan 16 domestik serta 18 landasan dan pendaratan pendek (STOLport).

"Hasil daripada bengkel OA itu akan diperhalusi dan dimuktamadkan. Kita harap OA baharu akan ditandatangani bersama MAHB pada tahun ini yang akan berkuat kuasa sehingga 11 Februari 2069.

“Setelah OA baharu ditandatangani, operasi dan pengurusan lapangan terbang di Malaysia akan memberikan fleksibiliti kepada MAHB untuk melakukan projek atau pelbagai inisiatif pembangunan yang diperlukan dalam memperbaiki infrastruktur dan perkhidmatan lapangan terbang.

“Sudah pasti ada keperluan untuk menaik taraf lapangan terbang kita bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, menarik pelancong antarabangsa serta menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bengkel OA diadakan di MAHB sejak Jumaat lalu turut dihadiri peserta daripada Khazanah Nasional Bhd, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Harta Tanah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri.