Awas kompaun RM1,000 jika tipu alat timbang!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peniaga durian di negeri ini bakal berdepan kompaun RM1,000 jika didapati menipu alat timbang sehingga harga buah itu naik mendadak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan itu bertujuan mengekang taktik licik peniaga bagi mengaut keuntungan berlebihan secara salah.

Katanya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi jika didapati mereka melanggar Seksyen 17 Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu menggunakan atau memiliki alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan.

"Tindakan menipu alat timbang tidak wajar berlaku. Walaupun KPDNHEP tidak berkuasa mengawal harga komoditi durian tetapi peniaga diingatkan mematuhi undang-undang.

"Selain sukatan harga, mereka juga diwajibkan meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual untuk mengelakkan kekeliruan pengguna," katanya.

Rosol (kiri) menunjukkan bacaan pada alat penimbang ketika meninjau harga raja buah itu di Pasar Payang, hari ini.
Rosol (kiri) menunjukkan bacaan pada alat penimbang ketika meninjau harga raja buah itu di Pasar Payang, hari ini.

Beliau berkata, peniaga disarankan menentu ukur atau 'calibrate' alat timbang sekali dalam tempoh enam bulan.

Beliau berkata, setakat ini satu aduan diterima melibatkan kes di Perak dan kompaun terhadap kesalahan itu telah dikeluarkan kerana menipu dengan menggunakan alat timbang dan sukat tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, pengguna dinasihati lebih bijak dan mengetahui hak mereka sebagai pengguna terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Gunakan hak anda sebagai pengguna ketika berbelanja bagi mengelak dimanipulasi oleh peniaga," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga durian, Mohd Latif Mohd Rani, 36, yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, peniaga tidak mempunyai kuasa mengawal harga kerana bergantung kepada pasaran.

"Harga durian pada masa ini tidak menentu, hari minggu harga melambung, untuk kaut untung tak seberapa. Kadangkala hanya balik modal.

"Kalau durian longgok biasanya hanya dapat balik modal. Kebanyakan harga mengikut pasaran Johor kerana sekarang durian banyak dari sana.

"Buat masa ini harga sekilogram bagi durian kampung RM13, durian biasa RM25 manakala harga durian yang popular termasuk musang king dalam lingkungan RM35 ke atas," katanya.