Dakwa PM tentukan nasib enam pemimpin, satu penghinaan mahkamah

Ciapan Dzulkifli membidas kenyataan Dr Mahathir di Twitter semalam.
Ciapan Dzulkifli membidas kenyataan Dr Mahathir di Twitter semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan nasib enam wakil rakyat UMNO daripada hukuman penjara disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kenyataan Dr Mahathir turut disifatkan sebagai satu penghinaan kepada hakim-hakim yang menghakimi kes-kes berkenaan.

Menurutnya, hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk membebaskan tertuduh.

"Kenyataan mengatakan bahawa PM 'Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak bersalah' adalah kenyataan menghina mahkamah. Penghinaan kepada hakim yang menghakimi kes-kes itu!" katanya menerusi ciapan dalam laman Twitter peribadi beliau semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Muhyiddin akan jatuh kerana enam orang: Tun M

Semalam, Sinar Harian melaporkan kenyataan Dr Mahathir mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin akan tumbang sekiranya enam ahli Parlimen UMNO yang kini sedang dibicarakan di mahkamah disabitkan bersalah.

Dr Mahathir yang mendakwa diri masih Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, disebabkan itu, Muhyiddin akan memastikan keenam-enam pemimpin itu tidak bersalah.

Enam ahli Parlimen UMNO yang dimaksudkan Dr Mahathir ialah Datuk Seri Najib Razak (Pekan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Artikel Berkaitan: