Pegawai sukan dijel tiga tahun palsukan dokumen

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI 6 JULAI] Seorang Penolong Pegawai Belia dan Sukan Terengganu dijatuhi hukuman tiga tahun penjara selepas didapati bersalah memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM270,000, empat tahun lalu, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Selain tertuduh, Mohd Khairul Adli Abdul Hadi, 33, rakannya Wan Fairuz Afham Wan Noorislam, 36, dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan empat sebatan selepas didapati bersalah bagi dua pertuduhan iaitu menipu mangsa sama dan juga memalsukan dokumen.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes berkenaan selepas dipanggil membela diri.

Mohd Khairul Adli didakwa memalsukan surat cagaran berharga di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jalan Pasir Panjang, di sini antara 19 April hingga 25 Mei 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman tiga tahun penjara bermula tarikh sabitan (hari ini).

Sementara itu, rakannya, Wan Fairuz Afham didakwa melakukan kesalahan menipu mangsa, Datuk Mohd Rozi Ibrahim berhubung projek pembekalan tidak wujud bernilai RM350,000 sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM270,000.

Selain itu, tertuduh didakwa memalsukan surat cagaran berharga dan kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bazar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jalan Masjid Abidin, di sini pada jam 2.15 petang, pada 25 Mei 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Wan Fairuz Afham didakwa melakukan kesalahan itu bersama bapa saudaranya, Azmi Ngah, 47.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Azmi dilepas dan dibebaskan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Wan Fairuz Afham dijatuhi hukuman enam tahun dan empat sebatan manakala bagi pertuduhan kedua pula dia dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan kesemua hukuman penjara diarahkan berjalan bermula tarikh sabitan (hari ini).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh, Mohd Khairul Adli diwakili peguam bela daripada Tetuan Nordin Kassim manakala tertuduh Wan Fairuz Afham diwakili peguam bela daripada Tetuan Wan Nazri & Co dan tertuduh, Azmi diwakili peguam daripada Aziz & Co.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Terengganu bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memalsukan dokumen membabitkan kerugian hampir RM800,000.