X

Kindly register in order to view this article
!

Hati-hati dengan tawaran haji guna visa furada!

Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak yang menawar untuk menunaikan haji menggunakan visa diurus sendiri.

TH dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa kerajaan menangguhkan ibadat haji rakyat Malaysia tahun ini melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa diuruskan sendiri (visa furada).

Kenyataan itu berkata, TH meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja untuk musim haji tahun ini (1441 Hijrah).

“Sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

“Tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada PJH atau agensi pelancongan swasta,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac lalu untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, TH menerima maklum balas daripada PJH yang telah membuat perancangan berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan.

Kenyataan yang dikeluarkan TH itu merujuk kepada dakwaan 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan ibadah haji tahun ini.

“Pada masa ini, kerajaan Malaysia telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Beliau berkata, keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Surat rasmi penangguhan tersebut disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr Mohammed Saleh Taher Banten pada Rabu.

Selain Malaysia, antara negara yang turut menangguhkan penghantaran jemaah haji ialah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!