X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Saya mungkin MB Johor paling singkat: Hasni

Hasni Mohammad
A
A

ISKANDAR PUTERI - Datuk Ir Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan beliau menjadi Menteri Besar Johor paling singkat dalam sejarah pentadbiran negeri ini jika Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau yang merupakan Menteri Besar Johor ke-18 dilantik pada 28 Februari lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri tumbang berkata, semua kemungkinan itu boleh berlaku dalam situasi politik sekarang ini.

"Saya perlu akur akan konteks keberadaan saya. Saya datang di tengah-tengah penggal pentadbiran. Masih lagi berbaki lebih kurang dua tahun setengah sebelum pilihan raya yang seterusnya. Itu pun, jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal.

"Jika itu berlaku, saya mungkinlah Menteri Besar yang paling singkat antara yang singkat. Mungkin juga digelar Menteri Besar Covid-19. Asyik sibuk berurusan tentang Covid-19 semata-mata," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor berkata demikian pada sidang akhbar secara langsung di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hasni, 61, menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga itu adalah dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Hasni berkata, bagi sesetengah pihak, kemunculan beliau dalam situasi semasa politik Johor dianggap sebagai pengacau dan ada yang menggelarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebagai kerajaan tebuk atap, kerajaan khianat atau kerajaan pintu belakang.

"Lalu saya merenung, apakah makna sebenar kita berkerajaan? Apakah makna sebenar kita mentadbir? Makna ini berlainan tafsirannya daripada satu orang dengan orang yang lain," katanya.

Katanya, pentadbiran kerajaan PH berakhir lebih awal dari tempoh masanya serta tidak dinafikan ia berpunca daripada kelemahan dan keangkuhan PH sendiri termasuk permainan politik yang dicipta sendiri.

"Malangnya dalam permainan ini yang tersepit ialah rakyat dan yang tergendala 1,001 penyelesaian kepada segala permasalahan mereka," ujarnya.

Johor katanya, dapat mengelak daripada terus diperjudikan permainan itu hasil kebijaksanaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bagaimanapun katanya, PN akan meneruskan dasar-dasar kerajaan PH semasa memerintah yang memberi manfaat kepada rakyat demi kebaikan Johor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!