Berkebun jadi pilihan ketika arahan duduk di rumah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika arahan untuk kekal di rumah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, satu sudut di kawasan rumah mula menjadi tumpuan - sebuah kebun kecil.

Tidak kira sama ada hanya sebidang rumput kecil dan tanaman di beranda, atau sebidang tanah besar subur yang dipenuhi sayur-sayuran, pokok buah-buahan dan pokok renek, mereka mendapat perhatian lebih ketika tempoh pergerakan terhad ini.

Di sesetengah kawasan perumahan dalam bandar, sayur-sayuran dan buah-buahan dari kebun sendiri menjadi sumber makanan tambahan.

Pengurus acara dan penari, Vijaya Kumari mendapati dia banyak memberikan hasil dari kebunnya seperti daun kelor atau lebih dikenali merunggai, petola ular (peria panjang), peria botol dan pisang, kepada jiran terdekatnya ketika tempoh PKP.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Vijaya mula mengedarkan hasil dari kebunnya kepada rakan-rakan dan saudara-mara yang tinggal berdekatan.

"Ketika PKP, kami cuba untuk tidak ke pasar dan mula menggunakan hasil daripada kebun di belakang rumah. Dan sayur-sayuran juga semakin subur. Ini bukan hanya tentang hasil, tetapi fakta bahawa banyak yang dapat daripada tanah, bumi.

"Pokok peria botol menjalar ke pokok kelor dan buahnya tergantung di pokok itu. Ia satu pemandangan yang luar biasa," katanya, yang banyak menghabiskan masa di kebun sambil menghayati keajaiban Pencipta.

Bagi Indumathi Krishan, seorang penggiat seni, kebunnya menjadi tempat mendapat inspirasi. Antara sayur-sayuran dan herba yang subur di kebunnya seperti kangkung, cili hijau, bendi, pelbagai jenis bayam, halia, halba, kari serta beberapa pokok buah-buahan.

Artikel Berkaitan:

Isteri kepada seorang doktor yang juga seorang vegetarian, Indumathi berkata, dia tetap pergi ke pasar untuk mendapatkan sayur-sayuran lain, di samping sayuran di kebunnya yang banyak memberi manfaat.

"Kami bercadang untuk menanam lebih banyak jenis sayuran sebelum PKP. Kebun organik adalah baik kerana kita mengetahui dari mana kita dapat sayuran itu," katanya.

Ini turut dipersetujui seorang tutor, Rukkumani, yang menanam sendiri pokok daun kari, kunyit, jambu batu di samping herba Tulasi atau kemangi di tanah kecil di belakang rumahnya.

"Saya berharap sangat ada ruang lebih besar. Saya mahu tanam lebih banyak tanaman. Kepentingan menanam sayur-sayuran sendiri menjadi lebih ketara semasa PKP.

“Buat masa ini, menanam sayur-sayuran seperti tomato, cili dan sayur-sayuran lain dalam pasu adalah pilihan saya kerana ruang terhad,” katanya, menambah pokok mangga di perkarangan rumahnya turut menghasilkan lebih buah ketika PKP.

PKP boleh dilaksanakan dan dihentikan, manakala koronavirus baharu mungkin tinggal lebih lama, tetapi satu perkara yang pasti, masyarakat pada umumnya sentiasa menyesuaikan diri dengan alam semula jadi. - Bernama