KKMM siap siaga jika kempen PRK Chini digalak secara dalam talian

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

PEKAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah bersiap siaga dalam aspek capaian internet jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dilakukan menerusi media sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang telah memulakan kerja menaik taraf dan meluaskan capaian internet di kawasan DUN Chini sejak minggu lepas.

"SKMM telah membuat ujian pada 27 Mei lalu di semua 15 pusat daerah mengundi (PDM) dan mendapati terdapat beberapa kawasan yang agak lemah dari aspek capaian internet dengan capaian paling lemah di PDM Felda Chini 3.

"Penambahbaikan dibuat secara berperingkat oleh semua syarikat telekomunikasi utama di sini dan ujian di PDM Felda Chini 3 hari ini mendapati ada penambahbaikan dari segi capaian dan diharapkan ia lebih baik menjelang hari penamaan calon (pada 20 Jun)," katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Internet Felda Chini 1 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah SKMM Pahang, Zahari Ismail; Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang, Datuk Zulfikri Hashim dan Pengarah Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustafa.

Saifuddin berkata, penambahbaikan capaian dan kapasiti internet itu juga mengambil kira jumlah penduduk yang dijangka bertambah di Felda Chini sepanjang tempoh PRK, khususnya pada hari pengundian kerana pengundi dari luar pulang menunaikan kewajipan mereka.

"Syarikat telekomunikasi telah diminta menyediakan stesen pemancar bergerak di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang padat manakala bagi kawasan dengan pengguna sedikit, kita akan mengoptimumkan penggunaan menara pemancar sedia ada di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika kempen secara dalam talian dijadikan sebagai prosedur operasi standard (SOP) PRK DUN Chini, ia membuka ruang kepada SPR untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem pilihan raya negara ini untuk disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa.

Selain kempen secara dalam talian, Saifuddin juga melihat perlunya SOP baharu dari segi kehadiran yang minimum meliputi calon, pencadang dan penyokong pada hari penamaan pada pilihan raya umum akan datang bagi mengelakkan pembaziran.

"Perarakan penyokong biasanya memerlukan belanja besar untuk pengangkutan, penyediaan bendera dan sebagainya.

"Saya fikir politik yang sihat tidak lagi harus berlaku pembaziran wang dan tenaga selain ia dapat mengurangkan ketegangan antara penyokong," katanya.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung.

SPR menetapkan pilihan raya kecil itu diadakan pada 4 Julai dengan 20 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 30 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Abu Bakar daripada Barisan Nasional menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi mengalahkan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain hilang deposit selepas hanya mendapat 1,065 undi. - Bernama