X

Kindly register in order to view this article
!

Ramai sokong pemandu mabuk dikenakan hukuman berat

Seorang anggota polis melakukan ujian pengesanan alkohol terhadap seorang pemandu di Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Mabuk di Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK). - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu, adalah usaha merentasi kepentingan kaum, agama dan politik yang pasti mendapat sokongan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, hasil kajian terhadap lebih 345,000 responden mendapati, 94 peratus daripada mereka menyatakan sokongan agar hukuman sedia ada 'diberatkan' iaitu berkaitan denda, penjara serta hilang kelayakan lesen memandu.

Katanya, beliau juga ada menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakan-rakan pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap pindaan akta berkenaan serta mahu supaya hukuman ditingkatkan lagi.

Dalam temu bual khas sempena 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri Pengangkutan di pejabat kementeriannya baru-baru ini, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan telah mengemas kini semua seksyen yang berkaitan serta menyenaraikan apa yang perlu dipinda bagi rang undang-undang (RUU) itu nanti.

“Draf bagi pindaan akta itu juga telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan ke mesyuarat Kabinet dalam masa dua minggu lagi dan Dewan Rakyat pada sesi Julai ini,” katanya.

Undang-undang sedia ada memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Beliau berkata, walaupun ada desakan daripada orang ramai agar pemandu mabuk dikenakan hukuman mati atau di bawah Seksyen 302 (membunuh), namun masyarakat tidak harus terburu-buru dalam soal itu, sebaliknya harus bertindak mengikut lunas undang-undang.

Menurutnya, jika Seksyen 302 digunakan, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk itu ada niat untuk membunuh.

"Kita tidak mahu mereka terlepas kerana niat itu tidak dapat dibuktikan. Kena ikut lunas undang-undang, betul kita geram tapi kita tidak boleh ambil tindakan secara melulu," katanya.

Ka Siong berkata, kerajaan juga sedia menurunkan had kandungan alkohol yang dibenarkan memandu, yang ketika ini ditetapkan pada 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas: 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

"Banyak negara yang menggunakan had minimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 0.05g/dl dan ada juga mahu kandungan alkohol pemandu pada paras kosong peratus, namun perkara yang sukar, kerana jika kita minum ubat batuk contohnya, akan ada bacaan alkohol, oleh itu perkara ini akan diperhalusi," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga sedang menyemak semula dari segi perundangan untuk memastikan soal kebajikan waris mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk mencukupi dan terbela.

Dalam pada itu, katanya, perancangan Kementerian Pengangkutan sebelum ini seperti mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak dalam kenderaan tidak akan dibatalkan cuma pendekatan yang digunakan akan dilihat semula.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf