Kerajaan perlu bantu agensi pengendali haji, umrah

Md Daud
Md Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dirayu mewujudkan geran sokongan modal bergerak kepada agensi pengendali haji dan umrah di negara ini bagi membantu agensi itu yang mengalami kerugian besar ekoran penangguhan pelaksanaan ibadah haji dan umrah akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, geran sokongan itu dicadangkan diberikan mengikut jumlah jemaah yang berjaya dibawa setiap agensi pengendali sebelum ini.

“Contohnya kalau agensi itu dalam tempoh lima tahun sebelum ini mengendalikan jemaah seramai 50,000 orang maka mereka layak diberi geran sebanyak RM5 juta. Kalau 30,000 jemaah, berilah geran RM3 juta.

“Dengan cara ini mutawif yang menjadi pembimbing jemaah boleh terus diberi gaji. Kalau tidak mereka akan meninggalkan agensi kerana tiada pendapatan. Ini bagi mengelakkan agensi mengalami masalah kalau mutawif berhenti kerana mutawif yang berpengalaman sukar dicari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Portal berita antarabangsa GDN Online semalam melaporkan Arab Saudi mempertimbangkan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah haji buat kali pertama pada tahun ini ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Md Daud berkata, ekoran penangguhan itu, Arab Saudi dianggarkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM192 juta susulan tiada kemasukan lebih 30,000 bakal jemaah haji Malaysia.

Secara purata, katanya, dianggarkan jumlah pendapatan yang disumbangkan setiap jemaah haji dari Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM6,000.

“Arab Saudi menjana pendapatan daripada bayaran visa dan perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji seperti sewa hotel, khemah, pengangkutan serta penyediaan makan dan minum.

Artikel Berkaitan:

“Jadi apabila ibadah haji musim ini ditangguhkan, mereka kehilangan pendapatan tersebut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Malaysia termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan pengusaha swasta turut sama menanggung kerugian disebabkan keadaan itu terutama dari segi pendahuluan sewa hotel yang telah dibayar.

“Dari segi hitungannya, katakan kalau kita bawa 1,000 jemaah haji, kita perlu bayar pendahuluan awal sekurang-kurangnya sekitar empat juta Riyal Saudi (SAR) atau hampir RM4.8 juta. “Pendahuluan awal ini tidak dipulangkan dan ia dipegang oleh mereka dan akan digunakan untuk perbelanjaan musim haji seterusnya,” katanya.