Umat Islam di Negeri Sembilan teruja dibenarkan solat Jumaat

Suasana solat Jumaat di Masjid kariah Felda Lui Muda terhad kepada 12 jemaah.
Suasana solat Jumaat di Masjid kariah Felda Lui Muda terhad kepada 12 jemaah.
A
A
A

SEREMBAN - Umat Islam di negeri ini teruja dan tidak sabar untuk menunaikan solat Jumaat di masjid mengikut kapasiti ruang solat bermula Jumaat depan.

Ini kerana bermula Jumaat depan, semua masjid di negeri ini dibenarkan mengadakan solat Jumaat berdasarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Seorang peneroka Felda, Mohd Non Abd Karim, 66, berkata, dia merindu suasana solat Jumaat di masjid selepas lebih dua bulan tidak dibenarkan solat berjemaah susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pada awalnya tular sepucuk surat memaklumkan bahawa solat Jumaat dibenarkan mengikut kapasiti masjid di Negeri Sembilan semalam (kelmarin), namun ianya telah diperjelaskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan ditangguh pada Jumaat depan.

"Kami perlu bersabar, tunggu seminggu lagi, Insya- ALLAH segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Seorang jemaah, Khairulkheiza Mohd Najib, 37, berkata, dia tidak pernah terfikir akan berlakunya wabak koronavirus (Covid-19) sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepanjang hidup tak pernah terfikir akan ada Covid-19 sehingga rutin menunaikan solat Jumaat pun tidak dibenarkan.

"Saya berharap pandemik ini segera berakhir dan kita boleh mengimarahkan masjid dan surau sepertimana sebelumnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Masjid Kariah Felda Lui Muda, Zainal Darus berkata, Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid telah bersedia menerima jemaah solat Jumaat minggu depan.

"Kami sudah uar-uar kan SOP solat Jumaat kepada penduduk, malah topeng percuma turut disediakan kepada jemaah. Saya sendiri akan mencatat dan merekodkan bacaan suhu jemaah.

"Kebenaran dapat solat Jumaat kali ini luar biasa kerana sebelum ini hanya AJK yang berpeluang menunaikan solat Jumaat yang kebanyakan berumur 60-an ke atas," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi berkata, beliau berharap masyarakat bersabar dalam mendepani ujian wabak koronavirus (Covid-19) ini dan berdoa agar wabak ini terhapus supaya rutin harian dapat berjalan seperti biasa.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan bahawa pelaksanaan solat Jumaat bagi lapan masjid yang telah dibenarkan mengikut kapasiti ruang solat masjid sebelum ini diteruskan seperti biasa semalam manakala masjid lain kekal dengan jumlah terhad 12 jemaah.

Katanya, bermula 19 Jun ini, semua masjid di negeri ini beroperasi berdasarkan garis panduan atau SOP bagi solat Jumaat dan ianya telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.