Penduduk Chini mahu anak tempatan jadi calon wakili BN

Haslihelmy DM Zulhasli
Haslihelmy DM Zulhasli
A
A
A

KUANTAN - Penduduk Chini mahu anak tempatan dipilih menjadi calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai depan.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, pihaknya menerima maklum balas berkenaan sewaktu membuat tinjauan dan pertemuan dengan penduduk setempat di kawasan itu.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya mendapat makluman di media sosial dan media arus perdana meramalkan anak kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nizar akan dipilih sebagai calon PRK DUN Chini.

"Bagaimanapun, hasil tinjauan yang dibuat mendapati sentimen penduduk di Chini mahukan anak kelahiran setempat mewakili mereka.

"Antara nama yang menjadi pilihan penduduk dan diharap menjadi calon mereka di Chini adalah seorang pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Mohd Shaqawi Mahussin yang berusia 53 tahun" katanya kepada dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Mohd Shaqawi merupakan anak jati Kampung Salong, Pekan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Islam Negeri, Sumatera Barat, Indonesia dan kini bertugas sebagai Penyelia Kanan Kemas Daerah Bera.

"Saya difahamkan Mohd Shaqawi adalah Naib Ketua UMNO Cawangan Salong dan pernah menjadi Ahli Jawatan Kuasa Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan.

"Beliau sangat aktif berpolitik dan terlibat dalam pelbagai aktiviti UMNO Bahagian Pekan dan sering menjadi wakil DUN Chini berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan dan disaksikan sendiri oleh Najib," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Haslihelmy berkata, Mohd Shaqawi mempunyai keperibadian yang cukup luhur dan mulia serta tiada sebarang isu salah laku atau rekod yang tidak baik.

Beliau berkata, keadaan UMNO sedang berusaha membina semula kekuatannya, faktor meletakkan calon yang tepat mestilah diperhalusi bagi menjamin kemenangan UMNO pada PRK DUN Chini.

"Jadi, kita harapkan menjelang hari penamaan calon pada 20 Jun ini diharap BN dan UMNO memilih calon yang sesuai dan menjadi pilihan penduduk.

"Apa yang penting calon haruslah anak tempatan," katanya.