Peluang Bersatu ketuai PN tipis

Peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus mengetuai Perika­tan Nasional (PN) dilihat tipis sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus mengetuai Perika­tan Nasional (PN) dilihat tipis sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus mengetuai Perikatan Nasional (PN) dilihat tipis sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang telah terlebih dahulu membentuk kerjasama melalui Muafakat Nasional pastinya tidak akan memberi laluan mudah kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Menurutnya, sokongan yang diberikan BN dan Pas kepada Muhyiddin ketika ini hanya sebagai sebuah gabungan.

Malah, katanya, kedua-dua parti itu secara jelas telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak membentuk atau menyertai kerajaan PN secara formal.

“Kita sendiri tahu bahawa PN itu bukanlah sebuah parti politik yang didaftarkan.

“Tidak wujud sebarang usaha menjadikan PN sebagai sebuah parti politik yang rasmi meskipun saya berpandangan bahawa Tan Sri (Muhyiddin) amat berharap bahawa PN akan menjadi perikatan yang rasmi sama juga seperti yang dibuat dalam Muafakat Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang juga Ketua Penyelidik Ilham Centre berkata, terdapat kemungkinan Pas akan memberi laluan kepada Muhyiddin dan Bersatu untuk mengetuai PN tetapi tidak bagi BN.

“Sebagai parti terkuat dalam PN serta mempunyai sokongan akar umbi yang paling kukuh, tidak mudah untuk UMNO memberi laluan kepada Bersatu.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, hubungan antara kedua-dua parti tersebut (Bersatu dan BN) akhir-akhir ini juga kurang harmoni di mana beberapa keputusan Bersatu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan tidak menyenangkan UMNO.

“Begitu juga keputusan UMNO dalam beberapa kerajaan yang mereka kuasai, contohnya Johor tidak disenangi oleh Bersatu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Yusri berkata, situasi itu jelas memperlihatkan hubungan UMNO-Bersatu mutakhir ini tidak cukup kondusif untuk membolehkan UMNO memberi laluan mudah kepada Bersatu mengetuai PN bagi menghadapi PRU-15.

Selain itu, katanya, sebagai parti yang mendapat sokongan terkuat dalam kalangan pengundi Melayu, sudah pasti UMNO mahu jadi parti yang bertanding kerusi terbanyak berbanding Pas dan Bersatu.

Terdahulu, akhbar The Straits Times Singapura melaporkan bahawa Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu telah bersiap sedia untuk mengadakan PRU15 paling awal tahun ini bagi menamatkan keraguan terhadap sokongan yang diterima beliau.