Tolong jangan ganggu fokus Luqman

Luqman -Foto: Kredit Yakult
Luqman -Foto: Kredit Yakult
A
A
A

SEMUA pihak perlu memberikan ruang kepada penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin membuktikan kemampuannya beraksi bersama kelab Belgium, FV Kortrijk.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, isu mengenai perpindahan pemain itu sama ada dibantu oleh pemimpin terdahulu ataupun tidak sudah menjadi perkara nombor dua.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah fokus Luqman Hakim untuk menampilkan kebolehannya beraksi bersama Kortrijk dan mengembangkan kariernya di luar negara.

“Kita jangan bebankan dia dengan soal perkara macam ini. Kita perlu bagi peluang kepada Luqman menunjukkan bakat dan jika betul dia layak, maka dia boleh terus kekal di sana dan mungkin boleh masuk kelab yang lebih bagus.

“Ini merupakan satu pendedahan dengan cara mana pendedahan itu dibuat tidak menjadi soal asalkan dia dapat menapak di luar negara dan mencuba nasibnya di sana.

“Bagaimana dia dapat pergi ke sana itu nombor dua. Kat sana nanti dia akan menentukan untung nasib dia sama ada dia betul-betul berkualiti dan layak bermain di Eropah atau sebaliknya. Sekarang ini beri dia peluang dulu,” katanya kepada Sinar Ahad, semalam.

Dalam masa sama, Jamal Nasir turut menasihati Luqman Hakim supaya hanya fokus untuk mengembangkan kariernya dan tidak mempedulikan perkara remeh yang sentiasa mengganggunya.

“Apa yang paling penting ialah fokus tentang bola sepak dan jaga mental. Perkara macam ini biasalah akan datang kiri dan kanan macam angin dan akan datang dan pergi.

Artikel Berkaitan:

“Luqman Hakim perlu terus di situ untuk pastikan matlamat untuk menjadikan bola sepak sebagai karier adalah perkara paling penting.Kalau banyak fikir mengenai perkara remeh ini akan merugikan diri sendiri.

“Luqman Hakim ni memang ada bakat, jadi bila perkara sebegini berlaku saya lihat bukan isu besar buatnya. Saya doakan dia berjaya di sana,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain Pahang itu juga mengharapkan isu perpindahan seperti yang berlaku kepada Luqman Hakim tidak akan berulang lagi di masa depan.

Sementara itu, agensi ejen perlawanan yang berpengkalan di London, EL-EF SPORT secara rasminya bergelar ejen buat Luqman Hakim.

Perkembangan terkini itu diumumkan oleh laman Twitter rasmi milik agensi tersebut yang bakal menjadi perantara dalam membantu Luqman Hakim untuk mengharungi cabaran baharu dalam karier bola sepaknya selepas ini.

”EL-EF SPORT dengan sukacitanya mengumumkan telah memeterai perjanjian kerjasama dengan salah seorang pemain muda yang berbakat besar di Asia, Luqman Hakim Shamsuddin.

”Kami memandang ke hadapan untuk bekerjasama dengan Luqman Hakim dan memberikannya persekitaran yang tepat untuk memulakan perjalanan karier profesionalnya,” ujar EL-EF SPORT ketika mengumumkan Luqman Hakim sebagai talent mereka itu.