Pasukan Liga-M bebas pilih tarikh mulakan latihan

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19. -Foto: FB Melaka United
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19. -Foto: FB Melaka United
A
A
A

SEMUA pasukan Liga Super dan Liga Premier saingan Liga Malaysia (Liga-M) bebas untuk memilih tarikh bersesuaian bagi memulakan semula sesi latihan masing-masing di bawah Akta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagaimana diumumkan kerajaan baru-baru ini, lapor SHAHRIZAL AHMAD ZAINI

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, sesi latihan itu perlu memenuhi perkara-perkara wajib di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum mereka berlatih.

Menurutnya, kebenaran mengadakan sesi latihan itu tertakluk kepada Akta PKPP yang tidak membenarkan sesi latihan melibatkan sentuhan fizikal dalam kalangan pemain ketika sesi latihan.

“Biarpun kebenaran latihan diberikan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Premier mulai 15 Jun ini, perkara-perkara wajib SOP bagi membolehkan mereka turun berlatih perlu diteliti.

“Mungkin ada pasukan yang mahu terlebih dahulu memenuhi perkara wajib SOP bagi membolehkan mereka turun berlatih. Seterusnya merancang corak serta jadual latihan masing-masing.

“Kemungkinan juga tiada pasukan yang akan memulakan latihan seawal 15 atau 16 Jun, kerana SOP awal melibatkan swab test ke atas pegawai, jurulatih dan juga pemain perlu dibuat terlebih dahulu dan difahamkan swab test ini mengambil masa untuk mendapatkan keputusan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, MFL menerima maklum balas positif daripada kesemua pasukan Liga Super dan Liga Premier berhubung taklimat SOP Fasa 1 menerusi persidangan video baru-baru ini.

Katanya, taklimat itu diadakan berikutan pengumuman kerajaan yang membuka semula sektor sukan dan rekreasi sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 8 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“SOP penuh bagi latihan Fasa Satu telah pun diedarkan kepada semua sehari selepas sidang video berkenaan dibuat," katanya.