X

Kindly register in order to view this article
!

Penjajaran politik baharu

A
A

YANG Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’aya-tuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14, bertitah: “Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. Ini juga dinamakan sebagai ‘kerajaan beta’.”

Penjajaran politik baharu dengan kewujudan Perikatan Nasional (PN) dan sokongan wakil rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat melalui pilihan raya membolehkan Muhyiddin menjadi pengganti kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Mac 2020.

Pada 9 Jun 2020, genap 100 hari pentadbiran Muhyiddin menerajui kepimpinan negara. Beliau yang hadir sewaktu krisis kepimpinan tanah air akur menggalas tanggungjawab itu tidak mudah tetapi mahu diberi peluang. Dalam kedudukan politik Malaysia, ia tidak memeranjatkan kerana sudah menjadi norma pesaing politik sukar menerima hakikat tewas dalam ‘politik angka’ dan berterusan kestabilan kerajaan diganggu.

Asas kepada politik Malaysia, yang pertama, politik angka. Kedua, mengakui politik adalah seni segala kemungkinan dan ketiga, tidak ada kawan atau lawan yang tetap tetapi hanya kepentingan.

Namun, dalam menghadapi ujian sewaktu krisis, Muhyiddin menanganinya dengan tenang, sabar, berani dan sederhana. Penjajaran politik PN juga membawa pesaing politik daripada pelbagai parti bermuafakat dalam satu gabungan besar.

Apakah yang berlaku sepanjang 100 hari sejak penjajaran politik ini berlaku? Hampir dua pertiga daripada tempoh masa tersebut tertumpu untuk mengatasi krisis koronavirus (Covid-19).

Krisis itu telah membuka peluang kepada kepimpinan Muhyiddin untuk berkomunikasi dengan pelbagai kumpulan sasar sehingga kesemua perutusan beliau ditunggu oleh orang ramai. Beliau tidak bertindak luar biasa tetapi pendekatan biasa menjadi kebiasaan ramai.

Ungkapan ‘Abah Muhyiddin’ menjadi sebutan serta-merta. Gaya orang kebanyakan dan penggunaan analogi serta kiasan trend terkini menyebabkan pendekatannya digemari. Tidak bersifat elitis dan tidak juga membidas serta tidak melahirkan kebimbangan ke atas rakyat. Politik dipinggirkan dan dicari jalan penyelesaian ke atas isu kesihatan dan ekonomi.

Untuk mengimbangi antara kesihatan dan nyawa, langkah turut diambil untuk mendekati upah dan ekonomi. Pakej RM250 bilion Prihatin Rakyat dengan tumpuan ke atas kumpulan sasar berbeza dan industri membolehkan keresahan reda seketika. Pelan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion bertemakan Penjana bertujuan memperkasa rakyat agar dapat melonjakkan perniagaan dan rangsangan ekonomi juga diperkenalkan. Label deep state sebelum ini sudah tidak kedengaran lagi.

PN menjadi instrumen politik baharu dan ada kekangannya. Wujud gabungan besar dalam satu gabungan besar yang lain kerana ada Barisan Nasional dan Muafakat Nasional di dalamnya. Isu legitimasi penjajaran baharu perlu dilakukan segera.

Hubungan Bersatu dengan UMNO dan Pas perlu dimuktamadkan. Apakah akan lahir UMNO-Bersatu dan di manakah kedudukan penyokong Pas selepas itu? Bagaimana pula kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan apakah akan lahir satu lagi parti di bawah PN? Tidak semua bersetuju dengan penjajaran politik baharu. Ia juga adalah cabaran 100 hari akan datang buat Muhyiddin. Pertembungan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan Plus akan memberi ruang kepada Muhyiddin.

Ekonomi dan kesihatan telah mendominasi kepimpinan Muhyiddin sepanjang 100 hari. Apakah 100 hari lagi bakal melihat merapatkan barisan dalaman parti, permusuhan PH berpanjangan dan pengukuhan PN? Siapa lawan siapa sebenarnya? Apakah ada tawaran baharu untuk Malaysia?

**Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!