X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan disaran basmi kemiskinan secara holistik

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyampaikan sumbangan kepada 200 keluarga di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertingkatkan usaha dan mengkaji dasar-dasar sedia ada bagi membasmi kemiskinan secara holistik sama ada dari sudut kemiskinan pendidikan, budi, ekonomi, saintifik dan sosial bagi memastikan mereka yang terkesan berupaya mencari jalan keluar daripada tekanan ekonomi semasa.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, usaha membasmi kemiskinan tersebut perlulah dilaksanakan secara inklusif tanpa meminggirkan sesiapa dan mengurangkan jurang di antara kaya dan miskin.

Menurutnya, segala bantuan, inisiatif mahupun dasar yang ingin dibangunkan perlu disegmenkan mengikut jumlah komposisi kaum di Malaysia bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara adil dan saksama.

"YBK melihat usaha membasmi kemiskinan ini pasti berjaya jika pemimpin-pemimpin negaranya benar-benar memberi fokus bagi tujuan tersebut kerana jelas dalam sejarah peradaban dunia apabila seorang khalifah Islam iaitu Umar Abdul Aziz berjaya mengeluarkan seluruh rakyatnya dari kelompok kemiskinan.

"Keadilan dan ketegasan Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan kaya yang juga seharusnya diteladani oleh setiap pemimpin," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, YBK menyampaikan sumbangan kepada 200 keluarga di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dengan kerjasama badan bukan kerajaan lain seperti My Fund Action dan Relawan MBM.

Beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa fasa bagi menjayakan program bantuan YBK Prihatin sebelum ini bertujuan menyantuni mereka yang terkesan khususnya golongan asnaf, miskin dan keluarga kurang berkemampuan.

"Jumlah keluarga yang telah menerima manfaat di bawah Program YBK Prihatin ini, bermula dari fasa satu PKP melibatkan seramai 500 keluarga telah menerima bantuan, fasa kedua 200 keluarga dan fasa ketiga 140 keluarga yang menjadikan jumlah untuk tiga fasa terawal itu ialah 840 keluarga.

"Bagi fasa keempat dan kelima sempena awal Ramadan, program YBK Prihatin ini digabungkan dengan program utama YBK untuk tahun yang ke-12 iaitu Program Sinar Kasih Ramadan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!