Aura Najib mampu menangkan BN di PRK CH?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Sekiranya BN dapat kekalkan kemenangan pada PRK Cameron Highlands ia tidak berkaitan dengan aura Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, aura Najib cuma persepsi media sosial yang didukung oleh media sosial yang pro beliau.

"Hakikatnya, pengundi Cameron Highlands tidak semua selesa dengan kemunculan Najib berkempen kerana boleh menjejaskan undi BN," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada faktor Najib mampu memenangkan BN di Cameron Highlands.

Najib baru-baru ini hadir ke kawasan PRK itu bagi melihat sendiri perkembangan di sana, selain turut turun berkempen membantu calon BN.

Nama Najib semakin popular ketika ini lantaran, perkongsiannya berhubung isu semasa di media sosial sering mendapat tempat di hati netizen.

Beliau turut digelar sebagai 'Raja Troll' apabila acapkali 'membahan' pemimpin PH dengan menggunakan bahasa santai dan sarkastik di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Dr Awang berkata sebaliknya faktor calon BN iaitu Ramli Mohd Noor boleh menjadi faktor utama kemenangan kerana beliau berasal daripada etnik Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada faktor undi Pas yang dijangka akan dapat membantu menambahkan undi membantu kemenangan BN. Kesemua ini merupakan faktor penguat baru boleh membawa kemenangan BN," katanya lagi.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada PRU14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Hari pengundian ditetapkan 26 Januari ini.