Kerajaan akan pinjam RM35 bilion

 A Kadir Jasin
A Kadir Jasin
A
A
A

IZIKAN saya sambung perbincangan kita berkenaan kerajaan tidak pernah cukup duit untuk bangunkan negara dan terpaksa berhutang.

Ramai orang keliru dan sangka kerajaan banyak duit apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kata, sistem kewangan negara kukuh.

Malah, ada yang terus tuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bohong apabila bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kata, kerajaan tak ada duit.

Saya sudah cerita dalam tulisan yang lalu tentang perbezaan antara kewangan negara dengan kewangan kerajaan dan hakikat bahawa hasil kerajaan hanya cukup untuk bayar gaji dan pencen kakitangan awam, selenggara pentadbiran serta bayar balik hutang. Untuk bangunkan negara, kerajaan kena pinjam.

Sekarang terbuktilah apabila Bernama sendiri petik Tengku Zafrul pada 12 Jun sebagai berkata, kerajaan akan pinjam hingga RM35 bilion daripada sumber dalam negara. Duit hutang itu akan diguna untuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang semuanya bernilai RM295 bilion.

Ia adalah rancangan yang dibentangkan kerajaan PH dan PN sejak berlaku pandemik Covid-19 awal tahun ini. Cuma saya nak ingatkan, walaupun jumlahnya nampak besar tapi sumbangan sebenar kerajaan hanyalah RM45 bilion. Tengku Zafrul sendiri mengaku.

Baki RM250 bilion seperti yang saya telah terangkan banyak kali adalah duit kita sendiri yang kerajaan benarkan kita guna lebih awal dan hutang kita yang kerajaan tolong tangguhkan pembayaran balik.

Jika kita masih ingat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata, peniaga pisang goreng Mak Cik Kiah dapat bantuan tunai dan penjimatan RM4,464 tapi penjimatan sebenar hanyalah RM864, sebab yang lain akhirnya dia kena bayar balik juga. Sekarang jelaslah bahawa untuk suntik RM45 bilion atau hanya 15.25 peratus daripada RM295 bilion itu pun kerajaan terpaksa berhutang.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan akan berhutang dalam negara dengan menjual bon konvensional dan bon syariah (sukuk) yang tergolong sebagai Surat Jaminan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities) atau singkatannya MGS.

Yang beli MGS adalah badan-badan kewangan dan pelaburan awam serta swasta seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan bank. Duit yang mereka guna adalah duit kita. Mereka beli bon kerajaan kerana selamat walaupun keuntungan tak banyak mana.

Lagi pula, badan-badan kewangan dan pelaburan sama ada awam atau swasta diwajibkan simpan sebahagian harta mereka dalam bentuk surat jaminan kerajaan. Selepas pinjam, kerajaan kena cari duit untuk bayar faedah dan pada hujung tempoh matang, bayar balik pokok. Dari mana kerajaan dapat duit itu kalau bukan daripada cukai dan yuran yang kita semua kena bayar macam cukai pendapatan, cukai barang dan perkhidmatan, cukai setem, cukai kematian dan macam-macam lagi.

Natijahnya, untuk selamatkan dan bangunkan ekonomi negara demi kebajikan kita semua, kerajaan berhutang dan kutip cukai daripada kita untuk bayar balik. Kerajaan tak ada masalah berhutang dalam negara tapi tidak semestinya lebih murah daripada berhutang di luar negara.

Oleh itu kita wajib belajar dan ambil tahu sebab kalau kerajaan seleweng, rasuah, membazir atau lembap buat kerja, duit yang lesap adalah duit kita. Jangan jadi macam Mak Cik Kiah yang seronok hanya sementara. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara