Mencuri kerajaan dalam masa 2 hari

No Image Caption
A
A
A

PENARIKAN pertuduhan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bukan sahaja dilihat usaha meluruskan semula jalur perundangan negara, malah ia turut mengimbau peristiwa ‘mencuri’ kerajaan negeri Sabah dalam tempoh dua hari.

Pada 10 Jun lalu, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan menarik semula pendakwaan ke atas semua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke atas Musa berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyatakan keputusan yang dibuat adalah menurut kuasa yang boleh dijalankan mengikut budi bicaranya seperti termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa budi bicara AG untuk membuat pertuduhan dan menggugurkan pertuduhan sangat berbahaya jika tidak diurus dengan baik. Ia berlaku apabila pertuduhan rasuah ke atas Lim Guan Eng ditarik balik sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan.

Kita juga dipertontonkan bagaimana pejabat Peguam Negara lepas telah membekukan ratusan akaun perniagaan, badan bukan kerajaan dan individu hanya kerana menerima pembayaran dan sumbangan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, anehnya ada akaun jutawan dalam kategori pertuduhan yang sama dinyahbekukan oleh Tommy Thomas atas ‘dorongan’ Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini.

Tidak seperti Tommy, Idrus mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pentadbiran undang-undang sebagai pendakwa raya, penasihat undang-undang kerajaan dan hakim Mahkamah Persekutuan.

Justeru, apabila beliau membuat keputusan menggugurkan mana-mana kes, ia bukan sahaja mengambil kira kepentingan keadilan tetapi juga integriti beliau selama berdekad lamanya.

Artikel Berkaitan:

Afidavit

Dalam kes Musa, Idrus tidak mempunyai pilihan selain menggugurkan kes tersebut selepas bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan afidavit beliau di Mahkamah Tinggi pada awal Jun lalu.

Afidavit itu menyatakan 'Siasatan terhadap Tan Sri Musa Aman yang dijalankan oleh Independent Commision Againts Corruption (ICAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara tahun 2008-2012 mendapati tiada salah laku rasuah oleh Musa atau mana-mana ejennya'.

Pendakwaan ke atas Musa pada tahun 2018 jelas bersifat politik untuk menghalalkan tindakan ‘mencuri’ kerajaan Sabah pada 12 Mei 2018 dan mengelak Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada dijatuhkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Barisan Nasional (BN) Sabah pimpinan Musa telah memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, diikuti parti Warisan (21), DAP (6) dan PKR (2), manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) memperoleh dua kerusi.

Musa berjaya mendapatkan sokongan solidariti dan memperoleh majoriti mudah 31 kerusi. Pada 10 Mei 2018, Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Anehnya, dua hari kemudian enam ADUN BN menyertai Warisan dan menandatangani deklarasi menyokong Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri. Maka, jatuhlah Musa setelah menjadi Ketua Menteri selama dua hari.

Namun, PH sedar kerajaan Mohd Shafie tidak kukuh kerana Musa sangat berpengaruh dalam politik negeri. Musa juga telah mengemukakan saman mencabar legitimasi pelantikan Mohd Shafie.

Hal itu menyebabkan PH menggunakan segala tipu muslihat perundangan untuk melemahkannya. Justeru, pada November 2018, Musa didakwa atas pertuduhan yang telah diputuskan tiada kes hampir 10 tahun lalu.

Sebulan selepas Musa dihadap ke mahkamah, sembilan ADUN dan empat ahli Parlimen BN (UMNO) Sabah umum keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri dan melemahkan sebarang tuntutan Musa ke atas jawatan tersebut. Bagaimanapun, dengan pembebasan Musa dan perpecahan PH, amat menarik untuk kita melihat senario politik Sabah dalam masa beberapa minggu mendatang.

Tidak mustahil Musa akan kembali menjadi Ketua Menteri dalam masa beberapa minggu lagi. Jika bukan Musa pun, mungkin bukan Mohd Shafie lagi yang menjadi Ketua Menteri.

***Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)