Protes George Floyd jadi agenda antarabangsa

No Image Caption
A
A
A

BUAT kali pertama hampir semua bandar raya utama AS seperti Washington DC, New York, Los Angeles dan Chicago menyaksikan protes besar-besaran. Protes George Floyd tidak terhad kepada penduduk Afrika Amerika sahaja tetapi turut meyaksikan penyertaan penduduk kulit putih. Malah, dilaporkan protes juga berlaku di kawasan pedalaman seperti Vidor di Texas yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat kumpulan Ku Klux Klan (juga dikenali sebagai ‘KKK’) iaitu kumpulan extremis kulit putih.

Protes George Floyd sudah menjadi agenda antarabangsa. Persoalannya, apa yang istimewa dalam kes pembunuhan George Floyd sehingga mendapat perhatian yang luar biasa? Sedangkan masalah perkauman dan diskriminisasi yang dihadapi penduduk Afrika Amerika bukan sesuatu yang baharu. Terdapat lima faktor utama yang mendorong orang ramai khasnya penduduk AS menyertai Protes George Floyd.

Pertama, cara George Floyd mati dianggap terlalu kejam. Pegawai polis Derek Chauvin meletakkan lututnya di leher Floyd selama sembilan minit walaupun Floyd berulang kali memohon bantuan supaya dilepaskan kerana tidak boleh bernafas sehingga meninggal dunia. Kejadian itu telah dirakam dalam video dan ditular ke seluruh dunia.

Kedua, tragedi kekejaman dan pembunuhan penduduk Afrika Amerika berlaku terlalu kerap dalam tempoh masa yang dekat. Dalam tempoh tiga bulan (Februari-Mei) sudah berlaku tiga kes pembunuhan melibatkan penduduk Afrika Amerika.

Ketiga, tragedi kematian George Floyd berlaku semasa penduduk AS sedang berhadapan dengan perintah kawalan pergerakan akibat pandemik koronavirus (Covid-19). Warga AS dihalang keluar rumah sehingga menjejaskan ekonomi. Ramai kehilangan pekerjaan. Pengangguran akibat Covid-19 adalah yang paling serius sejak zaman meleset pada 1930-an. Oleh itu, penduduk AS berada dalam keadaan kesukaran dan marah, maka tidak hairan ramai yang menggunakan Protes George Floyd untuk melepaskan perasaan kekecewaan.

Keempat, Protes George Floyd telah dipolitikkan oleh parti-parti politik dan kumpulan pendesak demi kepentingan masing-masing kerana tahun ini merupakan musim pilihan raya presiden. Bagi pemimpin parti Demokrat seperti Joe Biden, Protes George Floyd menunjukkan kelema-han dan tidak puas hati orang ramai terhadap pentadbiran pimpinan Presiden Donald Trump. Selain itu, dengan memberi sokongan terhadap Protes George Floyd, ia dijangka meningkatkan populariti Joe Biden yang akan mencabar Trump pada pemilihan bulan November nanti.

Selain itu, Protes George Floyd memberi peluang bagi kumpulan penduduk Afrika Amerika seperti Black Lives Matters, Black Radical Congress dan Black Riders Liberation Party untuk melobi serta mendesak agar tuntutan mereka mendapat perhatian calon-calon presiden

Kelima, tindakan agresif dan kekerasan yang digunakan oleh polis semasa Protes George Floyd seperti melepaskan tembakan peluru getah dan semburan lada terhadap orang awam yang berkumpul secara damai dan wartawan telah mendorong lebih ramai menyertai protes tersebut.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, orang ramai yang melakukan protes secara aman di depan Rumah Putih telah dikenakan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata termasuk wartawan. Kejadian tersebut telah meningkatkan lagi kemarahan orang ramai untuk turut serta dalam Protes George Floyd.

Kelima-lima faktor itu adalah antara punca utama mengapa Protes George Floyd mendapat sambutan yang luar biasa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya