Wanita PKR Selangor ikrar terus setia bersama Anwar

Kesemua ADUN Wanita Keadilan Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita PKR Selangor termasuk 18 Ketua Wanita PKR Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama PKR.
Kesemua ADUN Wanita Keadilan Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita PKR Selangor termasuk 18 Ketua Wanita PKR Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama PKR.
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sudah menjangka lebih awal keputusan keluar parti oleh ketua mereka, Dr Daroyah Alwi berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan bersama melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli; ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN Permatang, Rozana Zainal Abidin; Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Sangetha Jayakumar dan 18 ketua Wanita Cabang PKR berkata, sayap PKR negeri itu tidak akan patah semangat dan akan terus memperjuangkan agenda reformasi.

"Kami telah bersiap sedia untuk meneruskan agenda reformasi seterusnya mempertahankan kerajaan negeri Selangor.

"Wanita PKR Selangor akan terus mara sebagai satu sayap bagi mendepani semua isu wanita dan mengangkat martabatnya selaras dengan semangat yang sama sejak era reformasi," katanya.

Katanya, kesemua ADUN Wanita PKR Selangor dan Majlis Pimpinan Wanita PKR Negeri Selangor termasuk 18 Ketua Wanita Cabang di Selangor berikrar untuk terus kekal setia bersama PKR.

"Pemimpin datang dan pergi namun matlamat tidak akan pernah goyang malah pimpinan sedia ada mempunyai kualiti dan kepimpinan yang teguh untuk terus memacu sayap ini ke hadapan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Pusat dan Datuk Seri Amiruddin Shari di peringkat negeri," katanya.

Terdahulu, ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi mengumumkan keluar PKR dan meletakkan kesemua jawatan dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN ADUN Sementa umum keluar PKR

Beliau turut mengumumkan tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang 'mesra' Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat berkata, keputusan tersebut dibuat kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diterajui Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.