Permohonan Geran Agropreneur Muda dibuka sepanjang tahun

Ronald Kiandee (dua dari kanan) melepaskan benih anak ikan tilapia ke dalam kolam ternakan sewaktu melawat kolam ternakan ikan di Kampung Kolapis, Beluran. -Foto Bernama
Ronald Kiandee (dua dari kanan) melepaskan benih anak ikan tilapia ke dalam kolam ternakan sewaktu melawat kolam ternakan ikan di Kampung Kolapis, Beluran. -Foto Bernama
A
A
A

BELURAN – Permohonan Geran Agropreneur Muda kini dibuka sepanjang tahun bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk terus membangunkan industri makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini.

Beliau berkata, permohonan geran itu juga tidak tertakluk kepada tempoh masa tertentu seperti sebelum ini yang dibuka hanya pada Januari, Mei dan September sahaja.

“Namun, bagi urusan kelulusan, ianya masih tertakluk kepada peraturan dan penjadualan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Geran Agropreneur Muda Sabah di sini.

Kiandee berkata, sejak 2016, seramai 6,005 usahawan tani muda telah mendapat bantuan geran dalam bentuk barangan bernilai sehingga RM20,000 berjumlah RM104.35 juta.

Untuk tahun ini, beliau berkata, RM20 juta diperuntukkan untuk membangunkan 1,200 usahawan tani muda.

“Bagi fasa pertama tahun ini, seramai 238 pemohon telah diluluskan Geran Agropreneur Muda dengan nilai geran sebanyak RM4.01 juta,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: